Tue | Oct 30, 07 | 5:00:48 pm MYT
Menjelang Perhimpunan Agung Umno 2007 pada 5-9 November ini, semakin kuat menantu Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi, Khairy Jamaluddin menguasai media mereka.
Khairy yang juga Naib Ketua Pergerakan Pemuda Umno dan pernah menulis dalam majalah 'The Economist' cukup tahu untuk menggunakan media bagi meraih populariti ekoran sambutan 'buruk' yang dialami dalam pertandingan persahabatan bolasepak antara My-Team 2 dengan pasukan Indonesia pada 21 Oktober 2007 yang lalu.
Semakin hampir Perhimpunan Agung Umno, semakin banyak publisiti yang dicari oleh beliau.
Semakin terasa bahang Perhimpunan Agung Umno ini, semakin banyak publisiti yang perlu dikeluarkan oleh media cetak dan elektronik kepunyaan parti Umno agar dia benar-benar popular dan hebat dari kacamata orang Melayu terutamanya ahli dan para pemimpin Umno.
Bayangkanlah hampir setiap hari ada sahaja cerita atau gambar menantu Abdullah terpampang di media di akhir-akhir ini.
Sama ada secara kebetulan atau tidak, Dato' Kamaruzaman Zainal, Dato' Hishamudin Aun dan Dato' Khalid Muhd sememangnya 'wajib' menyediakan 'page' untuk Pengerusi Forum Halal-Hub sedunia ini.
Tidak ada istilah 'mungkin' atau 'bergantung kepada isu' kepada menantu Abdullah ini walaupun mereka boleh melakukan kepada Menteri Kabinet atau pemimpin Umno yang kanan. Wajib siarkan berita untuk bakal Perdana Menteri Malaysia ini.
Sesuatu yang tidak pernah berlaku di zaman Dato' A Kadir Jasin dari NST, Dato' Zainuddin Maidin dari Utusan Malaysia, Dato' Nazri Abdullah dari Berita Harian dan Haji Yunus Said dari TV3 yang hanya memberikan laporan kepada pemimpin kanan Umno ataupun Menteri Kabinet tetapi ini tidak berlaku kepada kepimpinan media pada masa sekarang.
Khairy yang hanya Naib Ketua Pemuda Umno tapi cukup berkuasa untuk diberikan publisiti disebabkan dia adalah menantu Presiden Umno dan Perdana Menteri Malaysia.
Sebagai pengamal media, apa yang lebih teruk sekali adalah di dalam satu hari ada dua berita mengenai Naib Ketua Pergerakan Pemuda Umno ini yang mungkin juga tidak pernah berlaku pada masa lalu.
Misalnya akhbar Berita Harian pada 29 Oktober 2007 lalu telah menyiarkan dua berita mengenai Khairy iaitu di muka 2 dan di muka 6.
Muka 2 adalah berita Khairy sebagai kapisiti Naib Ketua Pergerakan Pemuda sementara muka 6 adalah kapisiti Khairy sebagai Pengerusi forum Halal-Hub sedunia.
Ini bukan disebabkan kenyataan menantu Abdullah ini 'hebat' ataupun sebagai suatu skop yang sememangnya dicari oleh pengamal media massa tetapi kenyataan lumrah yang biasa disebut oleh pemimpin bawahan .
Mungkin juga Pengerusi Belia 4B atau MAYC Kampung Kundor Melaka atau Cheruk Tok Kun Pulau Pinang mempunyai ide dan kenyataan yang lebih baik dan bernas tetapi mereka bukan menantu kepada Perdana Menteri Malaysia.
Seperti dalam rencana sebelum ini, ada AJK Umno bahagian pernah yang menyebut, bodohlah kita tidak mengambil kesempatan dengan situasi yang ada tetapi lihat dan renunglah dengan pepatah Melayu seperti ukur baju di badan sendiri, seperti padi makin berisi semakin tunduk atau seperti penyu bertelur berbanding ayam yang bertelur seekor heboh satu kampung.
Mungkin di dalam situasi Umno sekarang pepatah lama ini hanya sesuai dengan Radio Klasik F.M ataupun Menteri Kebudayaan dan Warisan atau orang-orang Melayu veteran di dalam Umno.
Khairy perlukan publisiti yang cukup banyak dan lebih meluas adalah kerana dia sememangnya mahupun populariti selepas 'mendiamkan diri' dalam Perhimpunan Agung 2006 yang lalu.
Pada 2004, dia teruk diserang oleh para perwakilan Pemuda Umno sehingga di 'boo' dan pada tahun 2005, dia dikatakan hebat sehingga mendapat pujian dari bapa mentuanya sendiri dan mendapat berita utama di muka hadapan Berita Harian dan lainnya.
Barangkali pada tahun ini Khairy mahu 'come back' dan mungkin juga Abdullah mahukan menantunya ini menunjukkan kehebatan sebagai bakal pemimpin nombor satu negara masa depan.
Barangkali pemimpin muda Umno sekarang sekadar 'memasang' angan-angan untuk menjadi pemimpin nombor satu negara ataupun cukuplah dengan keadaan yang sedia ada sekadar menjadi Adun atau Ahli Parlimen.
Kasihan juga kepada parti dan pemimpin Umno lainnya kerana tidak berupaya untuk mendapatkan publsiti dari media kepunyaan mereka sendiri. Semasa Perhimpunan Agung Umno berlangsung, mereka diletakkan di dalam berita tinjuan yang mungkin memuji ucapan Khiary dan Abdullah Ahmad Badawi sebaris dengan berita bekas pemimpin Umno.
Itupun mereka bersyukur amat sangat jika terpampang gambar atau berita sedikit daripada tiada langsung terutama sebelum menjelang Pilihanraya umum akan datang.
Mungkin juga boleh dikatakan media cetak dan elektronik ini bukan untuk Umno yang terkenal dengan slogan dulu, kini dan selamanya tetapi untuk Khairy Jamaluddin sahaja dengan dibuang perkataan dulu dan dikekalkan kini dan selama-lamanya.
Itulah tahap kebebasan media kepunyaan kerajaan!
No comments:
Post a Comment