Tue | Oct 30, 07 | 4:44:37 pm MYT
KUANTAN, 30 Okt (Hrkh) - PAS Pahang menghantar memorendum bantahan terhadap Suruhan Jaya Pilihan Raya (SPR) terhadap pelanggaran peruntukan perkara 17 (7) peraturan pilihan raya 2002 kerana mengekalkan nama individu yang gagal menghadiri Siasatan Awam SPR bulan lalu.
Dalam rang daftar pemilih suku tahun kedua lalu, PAS membantah 227 nama membabitkan tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) iaitu Peramu Jaya (168) Chenur (49) dan Bera (3) daripada jumlah itu SPR menolak bantahan 27 pemilih walaupun individu berkenaan tidak menghadiri siasatan awam yang dijalankan SPR dari 20 hingga 27 September 2007 lalu.
Di dalam memorandum berkenaan, PAS menyatakan rasa ketidakpuasan hati terhadap tindakan SPR menolak bantahan dengan kos tanpa memberi bukti prime facie kenapa bantahan itu di tolak.
Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man selaku Pesuruhjaya PAS Pahang menyampaikan sendiri memorandum bantahan tersebut kepada Pengarah SPR Negeri, Haji Ismail Mohd Yusuf di pejabatnya.
Sebelum ini memorandum sama turut dihantar kepada Pengerusi SPR, Dato' Abdul Rahsid Abdul Rahman di Putrajaya.
Dalam perbincangan singkat itu SPR memberi jawapan spontan terhadap beberapa persoalan yang dibangkitkan di dalam memorandum berkenaan, antaranya isu kenapa SPR menolak bantahan PAS dan mengekalkan 27 individu di dalam daftar pemilih sekalipun individu berkenaan tidak menghadiri siasatan awam.
Katanya, sebelum SPR membuat keputusan, pihak SPR telah membuat siasatan ke lokasi alamat tinggal individu yang dibantah, hasilnya pihaknya berpuas hati individu terbabit mempunyai kes prima facie yang kuat untuk dikekalkan namanya di dalam daftar pemilih.
Setiausaha Jabatan Pilihan Raya PAS Pahang (JPN) Zulkifli Atan ketika diminta mengulas penjelasan SPR berkata, pihak JPN menerima penjelasan lisan SPR tetapi tetap akan meneruskan proses rayuan terhadap 25 individu yang dikekalkan namanya oleh SPR.
Katanya jika kalah didalam rayuan, pihaknya akan akur dan berpuas hati serta menganggapnya sebagai suatu proses pembelajaran yang berguna kepada jentera parti.
Menurutnya dalam rang daftar pemilih suku tahun ke-3 yang baru dibentangkan SPR beberapa hari lalu pihaknya telah mengesan 128 nama yang meragukan telah didaftarkan sebagai pemilih di Pekan (79), Bera (24) dan Rompin (25) dan pihaknya akan mengemukakan bantahan kepada SPR dalam masa terdekat.
Selain itu beberapa individu di Temerloh, Bera dan Jengka akan mengemukakan tuntutan kerana nama mereka tiada di dalam rang daftar pemlih yang dipamer.
Difahamkan kebanyakan nama yang dibantah khususnya di Pekan berasal dari negeri di utara semenanjung berdasarkan nombor kad pengenalanya. Kebanjiran pengundi baru berkenaan menimbulkan tanda tanya di kalangan penduduk.
Sementara itu seorang peguam, Abdullah Abdul Karim mempertikaian ketelusan SPR dalam kes penolakan bantahan yang dibuat.
Katanya, SPR perlu memberi jawapan/alasan kenapa penolakan untuk memuaskan pihak pembantah. - mns
No comments:
Post a Comment