Tuesday, October 30, 2007

Kesihatan Ibrahim tak terjejas: Saksi

KOTA BHARU: Seorang doktor yang melakukan pemeriksaan kesihatan terhadap bekas Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali, memberitahu Mahkamah Majistret, di sini semalam pada umumnya beliau berada dalam keadaan sihat kecuali mengalami masalah pada kerongkong.

Dr Ridzuan Mohd Isa, bekas Pakar Perubatan di Jabatan Kecemasan Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) Cheras berkata, pemeriksaan lain seperti keadaan jantung, paru-paru dan mata Ibrahim menunjukkan beliau dalam keadaan normal.

Dr Ridzuan yang kini Ketua Jabatan Kecemasan, Hospital Ampang, Selangor, berkata demikian di hadapan Majistret Azman Mustapha pada perbicaraan kes ahli perniagaan Datuk Nik Sapeia Nik Yusof, 53, yang dituduh menyebabkan kecederaan terhadap empat lelaki termasuk bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad secara menyembur bahan berbahaya.


Selain Dr Mahathir dan Ibrahim, dia juga dituduh mencederakan Mohd Nasir Muda, 45, dan ahli perniagaan Sobri Sahidan, 45.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa di sini pada 11 pagi 28 Julai tahun lalu.

Ahli perniagaan itu didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum tiga tahun, atau denda atau sebat atau dengan mana-mana dua daripada hukuman itu jika sabit kesalahan.


Dr Ridzuan, saksi ke-15 pendakwaan, berkata kerongkong Ibrahim yang ada kesan merah berkemungkinan disebabkan berlaku pendedahan kepada bahan kimia.

“Secara umum Ibrahim berada dalam keadaan baik, tidak ada gangguan kesihatan selepas kejadian yang berlaku tiga hari sebelum itu,” katanya.

Perbicaraan disambung semula selama tiga hari bermula 24 Februari tahun depan. - Bernama



Dr Ridzuan berkata, pemeriksaan terhadap Ibrahim dilakukannya pada 31 Julai tahun lalu ketika bertugas di HUKM.

Beliau berkata, sebelum pemeriksaan dilakukan, Ibrahim menceritakan mengenai kejadian yang berlaku di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra pada 28 Julai tahun lalu.

“Dari cerita Datuk Ibrahim, beliau mengalami pedih mata dan sesak dada yang agak teruk sebaik menghidu semburan gas ketika menyambut seorang kenamaan pada hari itu.

“Tanda-tanda yang diceritakan sewaktu pemeriksaan yang dijalankan tiga hari selepas kejadian memang berkemungkinan akibat pendedahan kepada bahan kimia,” katanya.

Pendakwaan dikendalikan Raja Rozela Raja Toran, Khairul Anuar Wahab dan Noor Ezwanee Mohamad, manakala Nik Sapeia diwakili oleh Mohd Ilyas Mohd.

Noor, Zainal Abidin Mustaffa dan Datuk Abdul Aziz Nawi.

Perbicaraan disambung semula selama tiga hari bermula 24 Februari tahun depan. - Bernama

No comments: