Tue | Oct 30, 07 | 1:58:53 pm MYT
KUALA LUMPUR, 30 Okt (Hrkh) - PAS telah berjaya bertapak selama 17 tahun di Kelantan dengan mengharungi pelbagai mehnah dan tribulasi membangunkan negeri tersebut dengan berpaksikan Islam.
Hal ini diakui oleh Setiausaha Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat, Wan Nik Wan Yussof ketika ditemui di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut semalam.
Secara keseluruhan, menurutnya faktor yang menyebabkan parti tersebut terus diterima adalah disebabkan oleh mood rakyat Kelantan berada pada tahap yang stabil yakni masih menaruh keyakinan terhadap kepimpinan kerajaan PAS setelah mereka melihat korupsi kerajaan BN yang semakin menular sehingga ke peringkat tertinggi kerajaan pusat.
"Ini termasuklah pembabitan Ketua Polis Negara, bekas Ketua Pengarah Badan Pencegah Rasuah (BPR), Ketua Menteri Sabah dan Menteri-menteri dalam kes berprofil tinggi yang tidak mendapat liputan secara telus oleh pihak media.
Tambahnya, rakyat Kelantan telah melihat contoh kepimpinan kerajaan pusat oleh Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi yang dikatakan mempunyai imej bersih dan memperkenalkan ideologi Islam Hadhari. Apa yang nyata, menteri-menteri dan pegawai bawahannya terlibat dengan pelbagai masalah salah laku, rasuah, moral, penyelewengan wang dan pelbagai lagi.
"Keadaan tersebut berbeza dengan kerajaan pimpinan Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat yang tiada rekod korupsi oleh BPR, termasuk rekod buruk akhlak. Melalui pengamatan rakyat Kelantan masih yakin dengan kepimpinan PAS, katanya.
Jelas Wan Nik, hal ini disokong oleh kajian yang menunjukkan indeks sosial di Kelantan lebih baik daripada negeri-negeri yang lain yang dikatakan lebih maju. Bahkan menurut Ketua Polis Kelantan, ia mempunyai kadar jenayah dan masalah gejala sosial terendah, begitu juga dengan kes-kes keselamatan awam.
Ini ditambah dengan pembudayaan ilmu secara agama dengan penetapan zon-zon ilmu yang bergerak secara berterusan sepanjang 17 tahun PAS memerintah di Kelantan.
"Masyarakat di Kelantan diasuh jiwa mereka dengan pendidikan agama. Ia adalah sebahagian daripada agenda merealisasikan 'Membangun Bersama Islam' bagi mewujudkan negeri yang aman, sejahtera dan tidak berkecamuk jika dibandingkan dengan negeri-negeri lain," katanya.
Selain itu, Wan Nik berpendapat keyakinan kepada Umno-BN belum terbina dengan baik di kalangan rakyat. Bahkan di kalangan pimpinan Umno-BN Kelantan sendiri, secara sedar mengakui tidak dapat menerima kepimpinan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Annuar Musa.
Ia disebabkan tiada individu di kalangan pemimpin Umno-BN Kelantan yang lebih baik daripada Annuar Musa. Namun ia masih tidak dapat menandingi kepimpinan Tuan Guru Nik Aziz walaupun muncul beberapa pimpinan baru Umno-BN di kalangan mereka sekalipun, ia tidak dapat diterima rakyat disebabkan mereka bukan berasal daripada latar belakang agama.
"Keadaan ini adalah jauh dan tidak sama dengan barisan exco kerajaan negeri Kelantan yang rata-rata 50 peratus daripada mereka berpendidikan agama. Berbeda keadaannya dengan Umno-BN yang tidak mengutamakan mereka yang berkelulusan agama bagi sesuatu peranan yang penting dalam sesuatu projek pembangunan, pimpinan PAS tetap mengambil kira semua faktor tersebut. - mns
No comments:
Post a Comment