Tuesday, October 30, 2007

PBT tentukan lokasi tampal poster pilihan raya

PUTRAJAYA: Mulai pilihan raya umum akan datang, parti politik tidak perlu lagi berebut lokasi menampal poster pilihan raya kerana tempatnya akan ditentukan pihak berkuasa tempatan berdasarkan peraturan yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman, berkata peraturan itu terkandung dalam garis panduan mengenai kaedah menampal poster yang akan dikeluarkan SPR tidak lama lagi.

Katanya, ia sebagai langkah mengatasi masalah perang poster yang berlaku pada setiap kali pilihan raya diadakan.


Beliau berkata garis panduan itu meliputi peraturan menggantung bendera parti dan semua bahan kempen selain jumlah poster dan tempat yang boleh ditampal.

“Mereka tidak lagi perlu berbalah.

“Jika ada dua atau tiga calon, setiap mereka diberi ruang di tempat yang dikhususkan,” katanya kepada pemberita ketika menghadiri jamuan Aidilfitri SPR di sini, semalam.


Beliau berkata, langkah itu bagi mengatasi masalah menampal poster yang tidak terkawal seperti pilihan raya kecil Pengkalan Pasir, di Kelantan.

Abdul Rashid berkata unit penguatkuasaan SPR akan membuat pemantauan dan jika ada pihak tidak mematuhinya, parti politik akan diarah menurunkan sebarang bahan yang ditampal atau digantung.

Mengenai tarikh pilihan raya, beliau berkata ia boleh dilangsungkan seawal-awalnya bulan depan dan beliau sudah memaklumkan kesediaan SPR berbuat demikian kepada Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada pertemuan bulan lalu.

Kerajaan sudah memperuntukkan RM220 juta kepada SPR untuk pilihan raya umum akan datang dan SPR memohon tambahan RM100 juta lagi bagi membeli peti undi dan penindik kertas undi.

Abdul Rashid berkata, SPR sudah bersedia dalam semua aspek termasuk logistik bagi mengendalikan pilihan raya umum ke-12 dan hanya menunggu pengumuman kerajaan.

Dalam perkembangan lain, Abdul Rashid berkata SPR menyambung usaha mengesan baki 16,000 daripada 22,432 pengundi yang tiada dalam rekod Jabatan Pendaftaran Negara dua bulan lagi sebelum tindakan susulan.

Setakat ini ada 10,516,256 pengundi berdaftar dan layak mengundi dalam pilihan raya umum akan datang.

No comments: