KOTA BHARU 29 Okt. – Seorang saksi yang melakukan pemeriksaan kesihatan ke atas mangsa, Datuk Ibrahim Ali memaklumkan Mahkamah Majistret di sini hari ini bahawa keadaan bekas Ahli Parlimen Pasir Mas itu umumnya dalam keadaan baik melainkan tekaknya.
Dr. Ridzuan Mohd. Isa yang juga bekas Pakar Perubatan di Jabatan Kecemasan Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) Cheras berkata, selain itu keadaan jantung, paru-paru dan mata Ibrahim didapati berada dalam keadaan normal.
Katanya, bagaimanapun daripada empat aspek pemeriksaan itu hanya kerongkong Ibrahim didapati merah dan ia berkemungkinan disebabkan berlakunya pendedahan kepada bahan kimia.
‘‘Secara umum Ibrahim berada dalam keadaan baik, tidak ada gangguan kesihatan selepas kejadian yang berlaku tiga hari sebelum itu,” katanya yang kini bertugas sebagai Ketua Jabatan Kecemasan, Hospital Ampang, Selangor.
Beliau berkata demikian pada hari ke-14 perbicaraan ke atas ahli perniagaan, Datuk Nik Sapeia Nik Yusof, 53, yang didakwa menyebabkan kecederaan ke atas empat lelaki termasuk Tun Dr. Mahathir Mohamad secara menyembur bahan berbahaya.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa di sini kira-kira pukul 11 pagi, 28 Julai tahun lalu.
Pendakwaan
Ahli perniagaan itu didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum tiga tahun, atau denda atau sebat atau dengan mana-mana dua daripada hukuman itu jika sabit kesalahan.
Perbicaraan didengar di hadapan Majistret Azman Mustapha sementara pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, Raja Rozela Raja Toran, Khairul Anuar Wahab dan Noor Ezwanee Mohamad.
Sementara tiga peguam bela, Mohd. Ilyas Mohd. Noor, Zainal Abidin Mustaffa dan Datuk Abdul Aziz Nawi mewakili Nik Sapeia.
Dr. Riduzan yang mengambil giliran sebagai saksi pendakwa ke-15, memberi keterangan dalam bahasa Inggeris berkata, pemeriksaan ke atas Ibrahim dilakukannya pada 31 Julai tahun lalu sewaktu bertugas di HUKM.
Menurutnya, sebelum pemeriksaan dilakukan, Ibrahim telah diminta menceritakan tentang kejadian yang diceritakan berlaku di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa pada 28 Julai tahun lalu.
‘‘Dari cerita Ibrahim, beliau mengalami pedih mata dan sesak dada yang agak teruk sebaik menghidu semburan gas ketika menyambut seorang kenamaan pada hari tersebut.
‘‘Simptom yang diceritakan sewaktu pemeriksaan yang dijalankan tiga hari selepas kejadian memang berkemungkinan akibat pendedahan kepada bahan kimia.
‘‘Cuma dari pemeriksaan didapati hanya tekaknya sahaja ada kesan dan ini mungkin disebabkan pendedahan tersebut bukan bersifat berterusan,” jelasnya.
Perbicaraan bersambung pada 24 hingga 26 Februari 2008.
No comments:
Post a Comment