Friday, October 26, 2007

BPR akan keluar perintah dakwa, Anwar gagal serah klip video asal

Oleh THOMAS CHONG

KUALA LUMPUR 25 Okt. – Badan Pencegah Rasuah (BPR) akan mengeluarkan perintah dakwaan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana gagal mengemukakan klip video asal perbualan telefon peguam kanan dengan seorang hakim kanan.

BPR dalam kenyataan malam ini berkata, kegagalan Anwar berbuat demikian merupakan kesalahan di bawah Seksyen 29 (c) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

“Pada 22 Oktober lalu, BPR telah mengeluarkan perintah supaya mengemukakan klip video asal selama lebih kurang 14 minit kepada BPR, tetapi beliau gagal berbuat demikian,” jelas kenyataan itu.

Menurut kenyataan tersebut, Anwar sebelum ini telah menghubungi pegawai BPR untuk mengambil satu pen drive yang mengandungi klip video selama lapan minit daripadanya.

“Anwar bertanggungjawab untuk menyerahkan klip video itu kepada ibu pejabat BPR di Putrajaya dan bukannya meminta pegawai untuk mendapatkan daripadanya.

“BPR difahamkan klip video selama lapan minit dalam pen drive itu juga bukannya salinan asal,” menurut kenyataan tersebut.

Pada masa yang sama BPR menegaskan tindakan itu bukan bermotifkan politik dan ia adalah berteraskan undang-undang.

“Tindakan ini sebaliknya adalah berteraskan kepada undang-undang dan mereka yang ingkar dengan undang-undang ini akan diambil tindakan,” jelasnya.

Sementara itu Ketua Pengarah BPR, Datuk Ahmad Said Hamdan mengesahkan pihaknya masih belum menerima klip video itu.

“Perintah terhadap Anwar sudah dikeluarkan (Isnin lalu) supaya menyerahkan klip video tersebut... ia mestilah dipatuhi,” katanya.

Ditanya mengenai tindakan yang boleh diambil ke atas Anwar kerana kegagalannya mematuhi perintah yang dikeluarkan BPR itu, Ahmad Said yang enggan mengulas lanjut berkata: “BPR masih tunggu rakaman asal klip video itu, kita tengok apa tindakan yang boleh diambil esok sebab tarikh akhir ialah hari ini.”

Sementara itu, Anwar dalam sidang akhbarnya memberitahu, beliau sudah bersedia menyerahkan salinan sahih mengandungi sebahagian klip video itu dalam bentuk thumb drive, hari ini.

Bagaimanapun, katanya, beliau kecewa kerana kemudian telah dihubungi oleh seorang pegawai BPR untuk memaklumkan pembatalan perjumpaan itu.

Ditanya sama ada klip video yang mahu diberikannya itu adalah klip keseluruhan iaitu selama 14 minit 16 saat, Anwar enggan mengulas perkara itu dan hanya menyatakan bahawa di dalam klip video itu dengan jelas ada menyebut kes Anwar dan Ketua Hakim Negara.

No comments: