Oleh Norfatimah Ahmad
KUALA LUMPUR: Badan Pencegah Rasuah (BPR) semalam menahan empat lagi individu, termasuk tiga pegawai Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bersabit kes penyelewengan dana awam yang didedahkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2006.
Dua individu terbabit, masing-masing seorang pegawai KBS dan pengurus sebuah syarikat, ditahan di sekitar Lembah Klang, manakala dua lagi pegawai kementerian itu ditahan di Kangar, Perlis.
Keempat-empatnya dipercayai terbabit dalam penyelewengan dan pecah amanah dana projek Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) di Perlis.
Timbalan Ketua Pengarah I (Operasi) BPR, Datuk Abu Kassim Mohamed ketika dihubungi Berita Harian mengesahkan penahanan empat individu terbabit dan mereka akan didakwa di Mahkamah Sesyen Kangar hari ini.
Penahanan empat individu itu menjadikan 15 orang ditahan BPR setakat ini menyusul pendedahan Laporan Ketua Audit Negara 2006 mengenai salah urus dana awam membabitkan beberapa kementerian dan agensi kerajaan.
Sebelum ini, Ketua Pengarah BPR, Datuk Ahmad Said Hamdan, berkata siasatan berhubung pendedahan Laporan Ketua Audit Negara 2006 masih diteruskan dan lebih ramai individu dijangka ditahan.
Selasa lalu, enam pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), dua pegawai KBS, seorang kontraktor dan seorang perunding didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu, Kota Bharu dan Raub.
Sehari selepas itu, dua lagi pegawai KBS didakwa di Mahkamah Sesyen Seremban. Turut didakwa Pengurus Projek Kosijaya Didactic Sdn Bhd, Loh Sie Le, 38.
Selain itu, BPR juga mencadangkan tindakan tata tertib terhadap lima pegawai kanan KBS yang terbabit dalam mesyuarat berhubung pembelian peralatan dan kelengkapan IKBN pada harga lebih tinggi berbanding harga pasaran.
SUKAN : AHAD 19 JULAI 2009
15 years ago
No comments:
Post a Comment