Oleh WAN SYAMSUL AMLY WAN SEADEY
KUALA LUMPUR 25 Okt. – Tindakan DAP membawa warga asing dan memberi kenyataan tidak berasas di Parlimen semalam seolah-olah mencabar kredibiliti amalan demokrasi di negara ini.
Menteri Penerangan, Datuk Seri Zainuddin Maidin berkata, situasi itu tidak pernah berlaku di negara lain terutama kes yang masih dalam siasatan polis.
“Saya tidak tahu pula ada hak untuk mereka membawa kes-kes tertentu ke Parlimen dan boleh memberi kenyataan pula kepada pihak lain.
“Pembangkang seolah-olah sengaja mahu memperbesarkan kes. Apakah perkara sama dapat dilakukan di negara lain,” katanya pada sidang akhbar selepas majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) Suara Felda dengan RTM, pelancaran drama Dinasti Bilut dan jamuan Hari Raya Kumpulan Felda di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas tindakan Ketua pembangkang, Lim Kit Siang yang membawa seorang lelaki warga asing, Manjit Sokhai ke Parlimen yang mendakwa telah dipukul tanpa sebab oleh Mat Rempit.
Kit Siang turut menyatakan kebimbangannya terhadap tahap keselamatan rakyat dan pelancong yang masih dikira rendah sekali gus menjejaskan nama negara sebagai sebuah pusat pelaburan, pelancongan dan pendidikan antarabangsa.
Menurut Zainuddin, DAP sebenarnya tidak boleh memberi sebarang kenyataan yang masih di dalam siasatan sehingga mengganggu kelancaran pihak berkuasa untuk menyelesaikan sesuatu kes.
‘‘Tindakan mereka mempertikaikan kredibiliti pihak polis juga seharusnya dipersoalkan.
‘‘Ini bukan perkara baru. Kerajaan sentiasa memandang berat dan saya yakin inisiatif telah dibuat untuk menyelesaikannya,” ujarnya.
Oleh itu katanya, apa yang dibuat DAP semalam hanya satu isu politik yang bertujuan untuk mengaibkan nama negara semata-mata.
Sementara itu, MoU hari ini lebih bertumpu kepada kerjasama RTM dan Felda dalam usaha menyambung semula siaran stesen radio, Suara Felda dan pelancaran drama 40 episod bertajuk Dinasti Bilut yang akan bermula Isnin depan.
“Saya yakin stesen radio dan drama bersiri ini akan membuka lembaran baru tentang dunia sebenar keluarga Felda di seluruh negara.
“Kita jangka kerjasama ini dapat memberi kesedaran tentang cabaran yang telah ditempuh warga Felda sebelum mencapai kecemerlangannya seperti hari ini,” katanya.
Dinasti Bilut merupakan drama arahan Rosyam Nor dan dibintangi oleh Senator Tan Sri Datuk Dr. Jins Shamsudin, Datuk Jalaluddin Hassan, Sahronizam Noor, Bienda, Sabrina Hassan, Abu Bakar Omar, Ahmad Tamimi Saregar, Aida Radzwill dan M. Rajoli.
No comments:
Post a Comment