Azamin Amin
Fri | Oct 26, 07 | 9:03:08 am MYT
KUALA LUMPUR, 26 Okt (Hrkh) - Gerakan Rakyat Anti Korupsi (Gerak) mengalu-alukan tindakan yang dilakukan oleh Badan Pencegah Rasuah (BPR) berdasarkan kepada Laporan Audit Negara 2006, kata Pengerusinya Mohamad Ezam Mohd Nor.
Sila layari www.englishsection.com untuk Laman Utama English Section atau www.harakahdaily.net/wap/ untuk melayari HarakahDaily.Net menggunakan telefon bimbit GPRS (General Packet Radio Service) anda.
Menurut Ezam, tindakan BPR mendakwa beberapa individu yang dikaitkan dengan dakwaan rasuah itu merupakan tindakan pertama yang dilakukan oleh badan pelaksana hukum khususnya BPR terhadap Laporan Ketua Audit Negara.
"Gerak melihat ini sebagai perkembangan positif dan satu tindakan yang amat signifikan dalam usaha memerangi rasuah," kata beliau dalam satu kenyataannya.
Dua hari lalu BPR mendakwa 10 orang termasuk sembilan kakitangan kerajaan di mahkamah di tiga negeri atas tuduhan yang mempunyai kaitan dengan Laporan Ketua Audit Negara 2006.
Manakala semalam, dua lagi pegawai kanan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan seorang awam didakwa di Seremban atas tuduhan yang sama.
Mereka termasuk berjawatan Pengarah dan Penolong Pengarah di KBS serta pegawai dan kakitangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dengan sebahagian besarnya didakwa mengikut Seksyen 11(c) Akta Pencegahan Rasuah 1997.
Mengulas lanjut, kata Ezam, Gerak berharap usaha BPR ini diterima baik dan disokong oleh seluruh institusi masyarakat termasuk parti-parti politik sama ada pemerintah mahupun pembangkang.
"Gerak juga berharap BPR akan terus diberi ruang untuk menyiasat dan melakukan tangkapan termasuk terhadap pemimpin dan pentadbir berprofil tinggi.
"Pengamatan Gerak terhadap Laporan Ketua Audit Negara itu mendapati ada asas untuk beberapa pemimpin politik dipertanggungjawabkan atas kecurangan yang berlaku," katanya.
Menurut beliau, Gerak sedia memberi kerjasama kepada BPR untuk mempastikan setiap yang berlaku curang dipertanggungjawabkan.
"Sudah sampai masanya budaya pertanggungjawaban diterapkan di dalam masyarakat kita unruk mempastikan Malaysia benar-benar tampil sebagai negara yang adil dan telus, kriteria penting bagi sebuah negara untk bersaing di dalam pasaran global sekarang," katanya. - mks.
SUKAN : AHAD 19 JULAI 2009
15 years ago
No comments:
Post a Comment