Friday, October 26, 2007

Utusan siar ucapan dasar

Oleh HATA WAHARI

KUALA LUMPUR 25 Okt. – UMNO akan bergantung kepada Utusan Malaysia dan stesen televisyen untuk menyiarkan ucapan dasar Presiden, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada Perhimpunan Agung UMNO pada 7 November ini.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad memberitahu, ini kerana semua akhbar berbahasa Inggeris, Cina dan Tamil tidak diterbitkan pada 8 November kerana sambutan Deepavali.

“UMNO tidak boleh menukar tarikh perhimpunan agung kerana segala persiapan telah dibuat dan ini telah diputuskan oleh Jawatankuasa Pengurusan parti yang dipengerusikan oleh Timbalan Presiden, Datuk Seri Najib Tun Razak,’’ katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang akhbar khas mengenai Perhimpunan Agung UMNO 2007 yang dijadualkan dari 5 hingga 9 November ini di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Radzi diminta mengulas mengenai ketiadaan penerbitan akhbar berbahasa Inggeris, Cina dan Tamil pada 8 November ini untuk menyiarkan ucapan Presiden UMNO pada perhimpunan agung parti itu tahun ini berikutan perayaan Deepavali.

Perhimpunan Agung UMNO tahun ini akan berlangsung dari 5 hingga 9 November dan dimulakan dengan majlis taklimat presiden dan perasmian serentak perhimpunan agung Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri.

Majlis perasmian dan perhimpunan agung akan diadakan pada 7 hingga 9 November.

Radzi memberitahu, tiada apa-apa perubahan boleh dibuat sekarang kerana persiapan perhimpunan agung, tetamu jemputan dan tempahan hotel oleh bahagian-bahagian UMNO sudah dibuat.

Katanya, pada tahun ini, sebanyak 2,522 orang perwakilan dari 190 bahagian UMNO akan menghadiri perhimpunan itu dan Bahagian Jelutong masih tidak dibenarkan menghantar perwakilan kerana masih digantung.

Tambah beliau, Persidangan Pergerakan Wanita UMNO pula akan dihadiri 791 orang perwakilan, Pemuda (787 perwakilan) dan Puteri (773 perwakilan).

Radzi memberitahu, Jawatankuasa Usul yang dipengerusikan oleh Naib Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan menentukan siapa yang akan membentangkan usul-usul.

Ujar beliau, mereka yang terlibat dalam pembahasan itu pula tidak dihalang untuk membangkitkan apa sahaja isu.

Katanya, mereka boleh membangkitkan apa sahaja isu termasuk klip video mengenai perbualan peguam kanan dengan seorang yang dikatakan hakim dan pelbagai isu lain.

Bagaimanapun, katanya, tiada siaran langsung sepanjang sesi perbahasan pada perhimpunan kali ini.

“Jawatankuasa Pengurusan menetapkan tidak ada siaran langsung tahun ini memandangkan beberapa perkara yang timbul pada tahun lepas,’’ katanya.

Beliau juga memaklumkan sebanyak 12 parti dari 12 buah negara yang melibatkan 34 delegasi telah mengesahkan kehadiran mereka pada perhimpunan agung tahun ini.

Tambah Radzi, sebanyak 57 perwakilan dari Kelab UMNO Luar Negara juga telah mengesahkan kehadiran mereka pada perhimpunan agung tahun ini.

No comments: