Fri | Oct 26, 07 | 8:36:05 am MYT
KUALA LUMPUR, 26 Okt (Hrkh) - Angkatan Muda KeADILan (AMK) mengalu-alukan tindakan Badan Pencegah Rasuah (BPR) mengheret lebih 10 pegawai bersabit dengan penyelewengan yang didedahkan melalui Laporan Audit Ketua Audit Negara 2006.
Begitupun AMK melihat adalah menjadi satu keperluan bagi BPR untuk turut menyiasat dan mendakwa menteri-menteri yang terlibat sebagaimana yang disabitkan di dalam Laporan tersebut, kata Timbalan Ketua AMK, Fariz Musa.
Kenyataan Ketua Pengarah BPR, Dato' Ahmad Said Hamdan, bahawa BPR tidak mengamalkan sikap pilih kasih dalam menyiasat dakwaan penyalahgunaan perbelanjaan kementerian dan jabatan kerajaan, wajar didahului dengan menjalankan siasatan ke atas menteri-menteri yang terlibat, katanya.
Ini termasuklah Menteri Belia dan Sukan, Dato' Seri Azalina Othman Said; Menteri Pelajaran, Dato' Seri Hishamuddin Tun Hussien dan Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat, Dato' Seri Shahrizat Jalil, katanya.
"Ini adalah penting, memandangkan setiap pelaksanaan pembelian dan perbelanjaan jabatan serta kementerian tidak boleh dilaksanakan tanpa pengesahan dan kelulusan daripada pihak menteri sendiri,"katanya.
Sebelum ini AMK telah pun mengemukakan laporan rasmi kepada BPR pada 13 September lepas, antara lain menggesa penyiasatan dijalankan ke atas Azalina dan Hishamuddin, katanya.
Gesaan itu dibuat berikutan 'tarik tali' antara kedua menteri tersebut berikutan isu penyelewengan pembelian peralatan IKBN sejumlah RM8.39 juta yang didedahkan di dalam Laporan tersebut, kata Fariz.
Wajar bagi BPR untuk mengheret menteri ke muka pengadilan sekiranya mereka didapti bersalah, demi membuktikan bahawa BPR tidak mengamalkan pendakwaan terpilih, katanya.
BPR tidak boleh dengan hanya mengheret pegawai jabatan tetapi 'tersipu malu' untuk mengheret menteri dan pegawai tertinggi kerajaan, kata Fariz.
Sudah sampai masanya BPR tidak membudayakan 'penangkapan ikan bilis' semata-mata dengan melepaskan 'jerung' yang akan terus membaham harta rakyat di masa akan datang dengan imuniti kuasa yang ada pada mereka, tegasnya. - mks.
No comments:
Post a Comment