KUALA LUMPUR 25 Okt. – Perhimpunan Agung UMNO pada 5 hingga 9 November ini tidak akan disiarkan secara langsung di stesen-stesen televisyen, kata Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad.
Beliau berkata, Jawatankuasa Pengurusan yang dipengerusikan oleh Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak telah memutuskan perkara itu.
‘‘Mungkin disebabkan kekecohan yang berlaku pada tahun lepas yang mengundang kecaman daripada pemimpin-pemimpin komponen Barisan Nasional (BN) menyebabkan keputusan ini dibuat,’’ katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang akhbar khas sempena Perhimpunan Agung UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.
Perhimpunan Agung UMNO tahun lepas yang disiarkan secara langsung sepenuhnya mengundang kecaman daripada beberapa pemimpin parti komponen BN kerana ucapan emosional beberapa perwakilan.
Sekurang-kurangnya tiga ucapan pada perhimpunan itu yang disiarkan secara langsung melalui stesen televisyen satelit Astro boleh disifatkan sebagai keterlaluan.
Malah, Kabinet yang membincangkan isu itu berpendapat penyiaran siaran langsung Perhimpunan Agung UMNO lebih banyak membawa keburukan daripada kebaikan.
Beberapa pembahas usul yang dikatakan menyampaikan ucapan yang keterlaluan dipanggil menghadap Jawatankuasa Pengurusan UMNO.
Radzi memberitahu, walaupun tidak ada siaran langsung tetapi akhbar-akhbar dan stesen-stesen televisyen tetap membuat laporan seperti biasa.
‘‘Pada tahun ini, sebanyak 31 agensi media termasuk tujuh dari luar negara yang membabitkan 920 petugas membuat liputan pada perhimpunan agung kali ini.
‘‘UMNO merasakan liputan yang dibuat oleh media-media itu sudah mencukupi untuk melaporkan perkara-perkara yang penting untuk dilaporkan,’’ katanya.
Tegasnya, tiada sekatan kepada media untuk melaporkan apa yang berlaku pada perhimpunan agung nanti.
Katanya, hanya Taklimat Presiden UMNO pada 5 November sahaja dibuat secara tertutup dan acara-acara lain terbuka untuk liputan oleh pihak media.
No comments:
Post a Comment