Fri | Oct 26, 07 | 3:00:24 pm MYT
KUALA LUMPUR, 26 Okt (Hrkh) - Meskipun dengan hanya kehadiran kira-kira 30 orang pemuda sahaja, namun semangat yang membara dalam diri 30 anak muda Angkatan Muda KeADILan (AMK) tetap menjadi azimat untuk mereka berhimpun di hadapan Masjid Negara selepas solat Jumaat hari ini.
Tujuannya satu, untuk memberi penerangan kepada rakyat isu laporan 'Pita Lingam' yang diputarbelitkan oleh beberapa media arus perdana semalam.
Begitupun kehadiran sekitar 30 orang tidak memberi kesan besar meskipun isu yang digarab Penasihat KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim mengenai pita lingam ini adalah isu besar yang mengugat pentadbiran negara.
Seorang pemerhati yang enggan namanya disiarkan melihat bahawa kurangnya komunikasi dan kelemahan dalam menguruskan himpunan bagi isu tersebut menyebabkan himpunan itu seakan tidak mendapat perhatian.
Kata rakan pemerhati itu lagi, AMK seharusnya membuat persediaan yang rapi untuk mengadakan himpunan itu bagi memberi impak besar dan seterusnya mencetus ledakan baru membesarkan isu tersebut.
Malangnya kata rakan tersebut, suasana 'dingin' pula yang berlaku akibat kesilapan perancangan yang dilakukan.
"Saya tidakpun melihat mana-mana promosi yang dibuat pihak terbabit untuk menjemput orang ramai, aktivis dan pejuang menyertai demonstrasi itu.Ini yang menyebabkan isu besar boleh 'layu' hanya kerana himpunan tidak mendapat sambutan,"katanya.
Terdahulu dalam himpunan itu, anggota Exco AMK, Lim Teck Hai yang memulakan ucapan mengecam sikap bermain wayang Badan pencegah Rasuah (BPR) dalam kenyataanya mengenai kegagalan Anwar menyerahkan pita rakaman kepada BPR.
Katanya, meskipun sebenarnya BPR berkata akan mendapatkan pita itu di pejabat Anwar seperti yang dijanjikan semalam, namun akhirnya setelah BPR membatalkan pertemuan di saat akhir, kenyataan yang keluar di media arus perdana sebaliknya.
BPR dalam kenyataannya menyatakan semalam Anwar pula yang gagal mematuhi notis yang dikeluarkan badan itu pada 22 Oktober lalu.
Lim juga mendesak pihak Istana Negara memandang serius tuntutan untuk mengadakan satu Suruhanjaya Diraja menyiasat 'Pita Lingam' kerana ia adalah berhubung isu kehakiman negara.
Beliau merayu dan merafak sembah kepada Institusi Raja supaya segera melakukan tindakan bagi menyelamatkan sistem kehakiman negara yang punah akibat tangan-tangan golongan yang mencatur kedudukan dalam organisasi kehakiman demi kepentingan politik sahaja.
Sebelum himpunan diadakan, suasana agak lengang dan hanya kelibat polis berpakaian preman, dan yang lengkap beruniform mundar-mandir di pekarangan Masjid Negara.
Kelibat Pengerusi Gerakan Mansuhkan ISA (GMI), Syed Ibrahim Syed Noh serta Pengerusi Gerak, Ezam Mohd Noor dilihat turun dari kereta Honda berwarna biru sebelum solat Jumaat mungkin datang untuk melihat himpunan.
Beberapa anggota olis seakan tertanya-tanya sama ada himpunan akan diadakan atau sebaliknya dan ada juga yang menanti arahan untuk tindakan selanjutnya.
Kelihatan juga sebelum itu beberapa anggota polis yang duduk di pekarangan belakang Masjid Negara yang sanggup untuk tidak bersolat Jumaat bagi menunggu himpunan diadakan.
Hingga selesai himpunan, anggota-anggota polis itu juga masih berada di tempat 'melepak' tanpa menghiraukan mata-mata yang 'sinis' memandang ke arah mereka. - mks.
No comments:
Post a Comment