Friday, October 26, 2007

Kaum India tidak kecil hati

PUTRAJAYA: Kaum India di negara ini tidak berkecil hati dengan keputusan Umno meneruskan perhimpunan agung parti ketika sambutan Deepavali pada 8 November ini, kata Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu.

Samy Vellu yang juga Menteri Kerja Raya berkata, beliau yakin masyarakat India faham Umno perlu mengadakan perhimpunan agung itu kerana tahun ini sudah hampir ke penghujung.

"Saya tidak fikir kaum India kecil hati kerana semua orang ada perayaan dan Umno perlu menganjurkan perhimpunan agungnya. Sekarang sudah menuju ke bulan terakhir tahun ini, mereka (Umno) perlu adakan mesyuarat.

"Saya tidak fikir kaum India berfikiran sempit hingga tidak memahami keadaan... kaum India adalah kaum yang berfikiran matang," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Rangkaian Usahawan Sikh Antarabangsa (NISE) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, semalam.

Kelmarin, Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad, berkata Perhimpunan Agung Umno yang bermula dari 5 hingga 9 November ini akan diteruskan pada 8 November walaupun jatuh pada cuti Deepavali.

Menjawab soalan, Samy Vellu berkata, MIC sentiasa mahu Umno menjadi parti terkuat di Malaysia kerana ia menjaga kepentingan semua kaum sejajar semangat Barisan Nasional (BN).

"Mereka bukan saja menjaga kepentingan Bumiputera tetapi juga kaum lain. Sebagai presiden parti dalam BN, saya mahu kekuatan Umno memperkuatkan kita... apa-apa masalah dalam masyarakat lain kita akan suarakan masalah itu dalam jemaah Menteri," katanya.

Samy Vellu berkata, beliau banyak membangkitkan isu kaum India kepada Kabinet sejak tiga minggu lalu.

"Semalam, saya sudah beritahu jemaah Menteri bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, dalam pembentangan Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) menetapkan beberapa peraturan di mana masyarakat India perlu diberi peluang pekerjaan dalam kerajaan.

"Saya tunjukkan cadangan itu dan saya nyatakan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) perlu lebih terbuka, apabila ada jawatan kosong, mereka perlu adakan pameran bergerak di seluruh negara," katanya.

Mengenai sambutan Deepavali, Samy Vellu berkata, beliau tidak akan menganjurkan rumah terbuka tahun ini kerana kematian adik empat bulan lalu.

No comments: