Friday, October 26, 2007

Klip Video : Anwar atau BPR yang gagal?

Wan Nordin Wan Yaacob | Foto Wan Zahari Salleh
Fri | Oct 26, 07 | 10:12:04 am MYT

Beberapa akhbar arus perdana melaporkan mengenai isu penyerahan klip video 'Pita Lingam' yang menyebut bahawa Penasihat KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim gagal menyerahkan bukti kepada BPR semalam.

ImageLaporan juga menyebut bahawa BPR berkata Anwar gagal mengemukakan pita pada tarikh yang ditetapkan dalam perintah yang dikeluarkan BPR.

Menurut laporan Bernama, BPR dalam satu kenyataan semalam berkata klip video asal itu perlu dikemukakan kepada ibu pejabat BPR pada 25 Oktober bagi membantu siasatan terhadap kesalahan di bawah Akta Pencegahan Rasuah 1997.

Menurut kenyataan itu, kegagalan berbuat demikian merupakan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 58 Akta itu dengan hukuman denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

Kenyataan itu menjelaskan bahawa Anwar menghubungi BPR untuk meminta supaya mereka mengambil klip video itu daripada beliau, kata laporan itu lagi.

Menurut kenyataan itu adalah menjadi tanggungjawab Anwar untuk datang dan menyerahkan klip video tersebut ke ibu pejabat BPR di Putrajaya dan bukannya meminta pegawai BPR datang ke pejabat beliau bagi mendapatkan klip video itu seperti mana yang diminta oleh Anwar.

Menurut BPR lagi, mereka difahamkan bahawa klip video yang ingin diserahkan oleh Anwar itu juga merupakan salinan dalam bentuk 'pen drive' berupa rakaman sepanjang lapan minit, dan bukannya yang asal seperti yang diperintahkan.

BPR seterusnya menafikan bahawa tindakan yang diambil bagi mendapatkan salinan asal klip video daripada Anwar itu bermotifkan politik seperti yang didakwa beliau.

Begitupun terdahulu di pejabat Anwar, mantan Timbalan Perdana Menteri itu sendiri menyebut bahawa, pegawai BPR, Sazali Salbi menghubunginya pertama kali pada jam 11.00 pagi bagi membincangkan soal penyerahan pita tersebut.

ImageBegitupun selang beberapa minit, pegawai yang sama menghubungi Anwar sekali lagi bagi menyatakan pembatalan penyerahan pita tersebut tanpa alasan.

Kenyataan itu dibuat Anwar secara terbuka dan Anwar begitu konsisten dengan kenyataannya sambil mengangkat 'thumb drive' yang dikatakan memiliki apa yang BPR mahukan.

Biarpun beberapa kali ditanya wartawan, Anwar tetap konsisten dengan kenyataanya bahawa BPR yang membatalkan pertemuan itu.

Mengikut rekod, sebelum ini dua telah dua kali pegawai BPR datang ke rumah Anwar bagi menyiasat dan mengambil keterangan Anwar dalam membantu siasatan kes 'Pita Lingam'.

Kedatangan itu termasuk pada 22 Oktober lalu, pegawai BPR yang diketuai Sazali Salbi datang untuk menyerahkan notis perintah menyerahkan dokumen di bawah Seksyen 22 (1) (b) Akta Pencegah Rasuah.

Begitupun pada ketika itu Anwar dikatakan masih belum membuat pendirian samada menyerahkan klip itu atau tidak.

Namun semalam, dengan penuh keyakinan Anwar membuat kenyataan bahawa beliau memetik kata-kata pegawai BPR bahawa pihak BPR membatalkan pertemuan semalam tanpa sebab.

ImageJika mengikut kenyataan Anwar, pertemuan yang rancang BPR itu telah dibatalkan badan tersebut dengan hanya membuat panggilan sahaja.

Perkara ini berbeza dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh BPR kepada akhbar arus perdana yang menyatakan Anwar gagal menyerahkan pita itu.

Begitupun penulis melihat bahawa jika benar kenyataan Anwar itu ianya secara sendiri boleh menidakkan kenyataan yang dikeluarkan BPR petang semalam kepada beberapa akhbar arus perdana.

Cuma apa yang mengecewakan, tidak ada sebarang laporan oleh akhbar arus perdana yang menyentuh kenyataan Anwar yang mendakwa BPR membatalkan pertemuan bagi menyerahkan pita rakaman itu.

Kata seorang pemerhati politik, mengapa tidak BPR sendiri mengambil bukti itu kerana sebelum ini BPR dilihat cukup bersungguh-sungguh dalam mendapatkan pita itu termasuk datang terus ke pejabat Anwar bagi mendapatkan keterangan.

Mungkin dalam hal ini ada pihak bermain wayang, namun dikesali sekali lagi akhbar arus perdana menjadi sandaran untuk menutup kenyataan pembangkang.

Kita akan saksikan selepas ini wayang gambar 'bollywood' yang lebih hebat antara Anwar dengan BPR.

No comments: