Oleh Rohaniza Idris
KUALA LUMPUR: Perhimpunan Agung Umno 2007 pada 5 hingga 9 November ini akan membincangkan usaha meneruskan agenda penting perjuangan parti tanpa menyentuh isu sensitif.
Perkara itu disahkan Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad yang menegaskan ahli Umno semakin matang selepas 61 tahun parti terbesar komponen Barisan Nasional (BN) itu ditubuhkan.
Katanya, perhimpunan kali ini dijangka lancar dan Presiden parti tidak akan mengeluarkan sebarang amaran atau arahan, sebaliknya nasihat dan amanat supaya ahli meneruskan agenda parti seperti yang ditetapkan.
"Umno menyambut ulang tahunnya ke 61, jadi perhimpunan kali ini akan berjalan seperti biasa dan saya percaya ahli Umno sudah matang dan tidak membicarakan isu sensitif.
"Perhimpunan kali ini akan berlangsung seperti biasa dan teratur mengikut peraturan dalam perlembagaan parti lebih-lebih lagi tahun ini bukannya tahun pemilihan parti," katanya pada sidang media Perhimpunan Agung Umno 2007 di sini semalam.
Radzi membayangkan perwakilan yang berbahas mungkin lebih berminat membincangkan isu berkaitan pilihan raya yang dijangka diadakan selewat-lewatnya tahun depan.
"Perhimpunan kali ini tidak membabitkan pemilihan, mungkin perwakilan lebih suka membicarakan soal pilihan raya berikutan ada cakap-cakap mengenainya kebelakangan ini," katanya
Dalam perkembangan berkaitan, beliau mengulangi sesi perbahasan kali ini tidak disiarkan secara langsung seperti tahun lalu selepas Majlis Tertinggi (MT) mengambil kira sensitiviti masyarakat Malaysia.
Ditanya sama ada keputusan itu ada kaitan dengan rasa tidak puas hati kaum lain terhadap isu yang dibangkitkan pada perhimpunan tahun lalu yang disiarkan secara langsung menerusi stesen TV berbayar, Radzi menjawab; "Mungkin, tetapi seperti yang saya katakan tadi MT mengambil maklum sensitiviti masyarakat negara ini."
Hanya 190 daripada 191 bahagian menghadiri perhimpunan kerana Umno Jelutong digantung akibat masalah dalaman. Seramai 2,522 perwakilan akan menghadiri perhimpunan agung, 791 untuk perhimpunan agung Wanita, Pemuda (787) dan Puteri (773).
Seperti biasa, 33 parti luar negara dari 31 negara sudah diundang sebagai jemputan perhimpunan. Namun, sehingga semalam 12 parti dari 12 negara membabitkan 34 delegasi mengesahkan kehadiran.
Beliau berkata, sebanyak 57 daripada 68 perwakilan Kelab Umno Luar Negara sudah mengesahkan kehadiran, manakala perhimpunan kali ini dijangka mendapat liputan 51 agensi media tempatan dan asing dengan jumlah petugas 1,928 orang.
Seperti biasa, perhimpunan dimulakan dengan majlis tertutup Taklimat Presiden pada hari pertama persidangan dihadiri ahli Majlis Tertinggi (MT), exco Wanita, Pemuda dan Puteri serta perwakilan bahagian.
Perhimpunan akan dirasmikan Presiden Parti, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, manakala ucapan penggulungan bermula selepas solat Jumaat dimulai Naib Presiden, diikuti Timbalan Presiden dan diakhiri Presiden.
"Seperti biasa tiga usul utama akan dibahaskan iaitu ucapan dasar presiden, ekonomi dan pendidikan serta agama dan sosial," katanya.
Ditanya sama ada Umno mahu menukar jadual ucapan Presiden parti dan perasmian perhimpunan berikutan hampir semua akhbar tempatan tidak menerbitkan akhbar kerana vendor tidak mahu mengedarkan akhbar pada Deepavali, beliau berkata, MT sudah mengambil keputusan meneruskan perhimpunan pada hari yang ditetapkan tanpa perubahan.
SUKAN : AHAD 19 JULAI 2009
15 years ago
No comments:
Post a Comment