Fri | Oct 26, 07 | 11:56:12 am MYT
Marah betul Encik Razman Ismail (bukan nama sebenar) selepas meneliti satu berita di muka depan akhbar Utusan Malaysia, kelmarin (24 Oktober). Bukan sahaja marah, bahkan geram dan sangat berkecil hati. Malu pun ada juga.
Semuanya gara-gara kenyataan ringkas Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Badawi yang disiarkan akhbar tersebut hari itu. "Muktamad tiada bonus - PM", itulah tajuk beritanya.
"Ini...sombong sangat ayat Perdana Menteri nih. Langsung tak beri ruang nak pertimbang. Hala ke (untuk) bonus rakyat, payah sangat. Perhabis puluhan juta naik ke langit tu, ada duit pulak. Kena ajar sikit Perdana Menteri kita nih!" komen seorang pembaca, selamba.
Meski pun suara hamba Allah itu perlahan saja, kritikan sinis itu sangat tajam menikam buat Encik Razman. Dia yang juga sedang menatap berita yang sama segera berubah wajah.
Maaf saya, apa yang dicoretkan ini bukan sekadar figmentasi atau rekaan penulis. Ia benar-benar terjadi. Lokasinya di sekitar sebuah pondok menjual suratkhabar, tidak jauh dari kompleks pejabat-pejabat kerajaan di sebuah daerah di Terengganu, Rabu lalu.
Dalam kenyataan disiarkan akhbar hari itu, PM dipetik sebagai menolak sama sekali sebarang kemungkinan memberikan bonus dalam apa jua bentuk kepada kakitangan awam tahun ini.
"Saya sudah cakap dulu dan saya sudah keluarkan kenyataan berkaitan dengan bonus. Tak payah cakap lagi lah...cukup lah sekali," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan MSC Malaysia Cybercentre @ Meru Raya, Perak, di Ipoh, sehari sebelumnya.
Sebelum ini, Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), telah menghantar memorandum kepada kerajaan agar dipertimbangkan bayaran honorarium purata RM2,000 setiap kakitangan menjelang perayaan Aidilfitri lalu menggantikan bonus.
Presiden CUEPACS, Omar Osman bagaimana pun sering mengingatkan kakitangan awam agar tidak menaruh harapan yang tinggi, malah perlu bersedia menghadapi kemungkinan tidak akan diberikan sebarang bonus tahun ini. Sehubungan itu, beliau turut menasihati kakitangan awam agar lebih berjimat cermat dalam perbelanjaan seharian mereka.
"Kita memang dah agak dah, kerajaan mungkin tak bagi bonus. Itu satu hal lah. Tapi yang pergi 'marah' macam tu, kecil hati lah kita. Macam lah kita (kakitangan awam) ni tak reti bahasa sangat, merempat sangat," hambur hamba Allah tadi lagi. Kemerahan muka Encik Razman tadi nampak jelas merebak ke telinganya pula.
Penulis dapat merasionalkan kemerahan muka Encik Razman itu lebih kepada malu, bukannya marah. Beliau bukan kakitangan biasa, ketua unit dalam jabatannya. Beliau juga seorang pendokong kuat kerajaan Islam Hadhari, pemuja PM Pak Lah, pengampu Datuk Seri Idris Jusoh (MB Terengganu).
Atas kedua-dua kapasiti beliau itu (bos pejabat dan orang kuat parti pemerintah), Encik Razman ada sebab sangat munasabah untuk rasa malu dengan kenyataan 'sombong' PM tadi.
Sebabnya, soal ganjaran tahunan kepada kakitangan awam memang menjadi satu perhitungan di mana-mana pejabat kerajaan. Apatah lagi di saat menghadapi perayaan Aidilfitri lalu, kesemua mereka mengharapkan ada suatu 'durian runtuh' daripada kerajaan untuk mengimbangi keperluan perbelanjaan mereka.
Kini, meski pun hari raya telah berlalu, rakyat bakal menghadapi penggal persekolahan baru pula dalam masa tidak sampai tiga bulan lagi. Rakyat perlukan duit juga.
Tidak mustahil, dalam kekalutan kakitangan bawahannya bercakap soal bonus atau sagu hati tahunan, Encik Razman selaku ketua mereka dan di masa sama pengampu kerajaan, mungkin pernah bercakap penuh keyakinan bahawa kerajaan akan membela nasib kakitangan awam.
Sudah tentu, sebagaimana gelagat biasa pengampu BN, cakapnya menggambarkan para pemimpin kerajaan sentiasa prihatin tentang masalah rakyat, tentang keperluan kakitangannya. Bukankah pernah menjadi tema kerajaan BN, 'Tradisi Membela Rakyat'?
Jadi, apabila sudah dimuktamadkan oleh PM, bahawa tidak akan ada sebarang bonus untuk kakitangan awam tahun ini, di mana agaknya Encik Razman nak letak mukanya? Kemegahannya pada keupayaan kerajaan BN membela nasib kakitangan bawahannya hancur berkecai!
Apatah lagi, smash yang ditujukan oleh hamba Allah tadi memang tepat mengena ke muka Encik Razman. Apa yang dia sebut tadi, "hala ke (untuk) bonus rakyat, payah sangat. Perhabis puluhan juta naik ke langit tu, ada duit pulak," ungkapan itu kebetulannya masih menjadi bahan tutur rakyat. Hamba Allah itu merujuk pengakuan dibuat PM sendiri yang disiarkan kebanyakan akhbar sehari sebelumnya.
PM pada 22 Oktober lalu mengakui negara mempunyai banyak wang dan mampu melaksanakan berbagai program, termasuk yang menelan belanja besar. Beliau mengulas dakwaan sesetengah pihak bahawa misi sulung angkasa lepas Malaysia lebih menjurus kepada pembaziran. Atau, paling tidak belanja besar itu sepatutnya dihalakan kepada program-program pembangunan lain yang lebih bermanfaat untuk rakyat.
Nada itu bukan sahaja disuarakan pihak pembangkang, malah turut diutarakan para pemimpin BN. Antaranya, Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), Dato' Sharir Abbul Samad sendiri. Dalam kenyataannya disiarkan Berita Harian 16 Oktober lalu, Sharir mahu kajian terperinci dibuat berhubung kesan dan manfaat diterima rakyat daripada Program Angkasawan Negara sebelum kerajaan mengambil keputusan untuk meneruskannya pada masa depan.
Menurutnya, sebagai negara yang sedang membangun, Malaysia perlu meletakkan keutamaan kepada pembangunan negara termasuk menyediakan prasarana dan keperluan rakyat.
"Kita tahu penyertaan dalam misi angkasa lepas ini memerlukan banyak pelaburan tetapi kita masih ada wang lagi untuk keperluan pembangunan yang lain. Kita ada wang dan kita boleh. Kita benar-benar tahu wang kita masih ada lagi untuk membawa kesejahteraan pada rakyat dan pembangunan negara," kata PM di Ipoh.
Nampak sangat PM kita ni tak cermat bila bercakap. Wang masih ada, kesejahteraan rakyat jadi janji. Jadi, apa fasal tak boleh beri bonus?
Barangkali rasional itulah yang mengasak benak Encik Razman sejak Rabu lalu. Barangkali juga apa yang disebut hamba Allah tadi masih tergiang-ngiang di telinganya.
"Ini...sombong sangat ayat Perdana Menteri nih. Langsung tak beri ruang nak pertimbang. Hala ke (untuk) bonus rakyat, payah sangat. Perhabis puluhan juta naik ke langit tu, ada duit pulak. Kena ajar sikit Perdana Menteri kita nih!"
Cuma penulis tidak pasti adakah Encik Razman bersetuju untuk "ajar sikit PM" kesayangannya itu. Jika dia bersetuju pun, penulis belum pasti bagaimanakah Encik Razman akan terjemahkannya dalam pilihan raya umum nanti.
Bukan senang nak ubah sikap orang yang "berkarat biru" ni! - mks.
No comments:
Post a Comment