Saturday, November 03, 2007

Menu tradisional, Barat, Jepun untuk perwakilan

Oleh Hanneeyzah Bariah Baharin

KUALA LUMPUR: Lebih 140,000 kilogram (kg) bahan mentah pelbagai jenis untuk menyediakan makanan sempena Perhimpunan Agung Umno 2007 yang berlangsung lima hari bermula 5 hingga 9 November ini di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), meningkat sekali ganda berbanding tahun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif PWTC, Datuk Yaakob Mohammad, berkata sebanyak 55 bahan mentah seperti ikan, ayam, sotong udang harimau selain pelbagai sayuran dan bahan perisa disediakan bagi menyediakan 100,500 set makanan pagi, tengah hari dan malam untuk ribuan perwakilan dan pemerhati Umno, jemputan serta wartawan sepanjang perhimpunan itu.

Beliau berkata, pelbagai jenis makanan termasuk hidangan tradisional, Barat dan Jepun akan disediakan 77 pekerja dapur dan chef tetap PWTC dengan dibantu 33 pekerja sementara yang kini sibuk membersihkan bahan mentah sebelum memulakan kerja memasak pada Ahad ini.

"Antara bahan mentah yang akan digunakan ialah 50 kg beras; 20,000 potong ayam pandan; 15,000 kg ayam; 10,000 kg daging; 5,000 kg udang harimau dan 10,000 kg tauhu Jepun untuk masakan lebih 12,000 orang. Ini termasuk hidangan untuk majlis makan malam Perdana Menteri pada 7 November dan Timbalan Perdana Menteri pada 8 November.

"Sepanjang seminggu perhimpunan, dapur ini akan beroperasi 24 jam dan pekerja mengikut syif ditetapkan. Walaupun terpaksa menyediakan makanan dalam jumlah besar, kita mahu memastikan pekerja menitikberatkan kebersihan makanan," katanya pada sidang media "Persiapan di Sebalik Tabir" sempena Perhimpunan Agung Umno di sini, semalam.

Beliau berkata, bagi memastikan perhimpunan berjalan lancar, pengurusan PWTC akan dibantu 920 kakitangan, selain menggunakan khidmat 800 petugas Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Pertahanan Awam (JPA3) untuk memantau soal keselamatan dan mengawal kawasan persekitaran.

Selain itu, katanya, latar pentas untuk perhimpunan kali ini juga mendapat sentuhan berbeza apabila mempamerkan wajah ceria Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bersama isteri, Datin Seri Jeanne Abdullah serta rentetan peristiwa penting negara dan prinsip Islam Hadhari.

"Pentas sepanjang 85 kaki dan ketinggian 60 kaki itu juga dihiasi latar belakang berkonsep angkasa lepas, 10 prinsip utama Islam Hadhari sebagai panduan masyarakat Malaysia tidak kira di dalam dan luar negara. Oleh kerana perhimpunan ini dijalankan pada Syawal, kita turut menyelitkan konsep hiasan hari raya," katanya.

"Kita juga mengambil berat soal keselamatan awam dan sudah menyediakan bilik kecemasan dan perubatan di tingkat tiga PWTC yang diketuai seorang doktor, dua jururawat dan dua pembantu perubatan selama lima hari. Khidmat Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) turut disediakan," katanya.

sambil menambah pihaknya mengambil masa tiga bulan untuk melakukan persiapan perhimpunan itu.

Yaakob yang juga Setiausaha Kerja Umno berkata, pihaknya juga meningkatkan kawalan keselamatan bagi memastikan tiada sebarang 'bahan' terlepas kepada perwakilan, terutama sepanjang tempoh sekretariat Umno menguruskan pengisian beg untuk perwakilan.

Beliau berkata, lebih 4,000 perwakilan daripada 191 bahagian Umno akan hadir, selain 33 parti politik dari 30 negara diundang menyaksikan perhimpunan itu dan setakat ini, 12 parti dari 12 negara membabitkan 34 delegasi sudah mengesahkan kehadiran, selain 57 wakil dari 68 Kelab Umno Luar Negara.

Katanya, seramai 1,400 wartawan, jurugambar dan jurukamera media cetak dan elektronik akan membuat liputan sepanjang perhimpunan itu. Selain itu, sebanyak 298 lot gerai jualan pelbagai jenis produk oleh ahli Umno seluruh negara disediakan di lobi PWTC.

No comments: