Saturday, November 03, 2007

Perwakilan Terengganu ketengah isu pembangunan

Oleh KAMARUDIN HAMZAH

BESUT 2 Nov. – Terengganu akan mengetengahkan isu berkaitan pembangunan, pendidikan, agama serta konsep pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) yang akan merancakkan lagi ekonomi orang Melayu pada Perhimpunan Agung UMNO minggu depan.

Isu akan dibawa oleh empat wakil dari negeri yang telah dipilih untuk berucap.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, perwakilan tersebut ialah Ketua Penerangan UMNO negeri yang juga Ahli Parlimen Kemaman, Datuk Ahmad Shabery Cheek dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Komunikasi negeri, Datuk Wan Hisyam Wan Salleh.

Menurutnya, dua lagi perwakilan ialah Naib Ketua Pemuda UMNO negeri, Khazan Che Mat dan Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Razali Ismail.

Menurutnya, perwakilan akan memberi fokus kepada kesemua aspek itu yang telah berjaya dilaksanakan di Terengganu sejak Barisan Nasional (BN) berjaya mengambil alih tampuk pemerintahan negeri.

“Perubahan dan keselesaan yang dinikmati oleh rakyat ekoran kenaikan harga komoditi utama iaitu getah dan kelapa sawit akan diberi penjelasan kepada para perwakilan pada perhimpunan nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis Aidilfitri Felcra Wilayah Timur di Dewan Majlis Daerah Besut (MDB) Gong Kemuntong dekat sini, hari ini.

Turut hadir pada majlis itu ialah Pengerusi Felcra, Datuk Nasaruddin Hashim dan Ketua Eksekutif Felcra Berhad, Mohd. Nasir Baba.

Idris yang juga Menteri Besar Terengganu berkata, perwakilan juga akan membangkitkan pelancaran ECER yang memberi nafas baru kepada pembangunan Terengganu.

Menerusi ECER, jelasnya, Terengganu bakal menjadi gerbang pelancongan sekali gus memberikan impak yang besar kepada bidang ekonomi dan kesejahteraan keseluruhan rakyat.

“Selain ECER, Terengganu akan menjelaskan pendekatan program Ulul Albab, Sekolah Imtiaz yang telah menjana kecemerlangan pendidikan di Terengganu termasuk kejayaan dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan peperiksaan lain,” ujarnya.

Tambahnya, rakyat Terengganu melahirkan rasa syukur dengan pemerintahan UMNO dan BN yang diterajui oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kerana banyak mendatangkan kemajuan untuk dinikmati rakyat.

No comments: