Saturday, November 03, 2007

Perhimpunan Umno tak asing bagi Jeanne

Oleh Shamshul Azree Samshir


KONGSI CERITA: Jeanne berbual bersama wartawan pada majlis suai kenal bersama media serta jamuan Aidilfitri di Dewan Bankuet di Seri Perdana Putrajaya, semalam.

Isteri PM tidak campur urusan rasmi, mahu suami tenang di rumah

PUTRAJAYA: "Sebaik melangkah ke dalam dewan kelak, barulah saya tahu bagaimana perasaan saya," kata isteri Perdana Menteri, Datin Seri Jeanne Abdullah yang untuk pertama kali akan mengiringi Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menghadiri Perhimpunan Agung Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, Rabu ini.

Bagi Jeanne, kehadiran beliau pada perhimpunan itu sebagai isteri Presiden Umno adalah pengalaman baru, walaupun sudah lima bulan bergelar isteri Perdana Menteri dan menemani Abdullah dalam pelbagai majlis rasmi di seluruh negara.

Namun, Jeanne berkata Perhimpunan Agung Umno bukan sesuatu yang asing baginya kerana beliau pernah menghadiri perhimpunan itu sebelum ini.


"Saya tidak tahu (untuk menggambarkan perasaan itu sekarang). Bagaimanapun, saya tahu (suasana) persidangan yang akan diadakan dan apa yang boleh dijangka," katanya kepada pemberita pada majlis suai kenal bersama media serta jamuan Aidilfitri di Dewan Bankuet di Seri Perdana di sini, semalam.

Lebih 150 anggota media tempatan menghadiri majlis itu yang diadakan dalam suasana santai dan sederhana.

Ditanya apakah beliau mengikuti dan sukakan politik, Jeanne berkata beliau tidak mencampuri urusan Perdana Menteri dan Abdullah juga tidak membawa soal kerja ke rumah.


Malah, katanya, beliau tidak akan bertanya mengenai soal kerja selepas melihat sendiri apa yang terpaksa dilalui Abdullah saban hari.

"Saya melihat suami saya, mengikuti beliau ke sana-sini, memberikan ucapan demi ucapan... Jadi, saya tidak mahu beliau bimbang lagi, rumah adalah syurga," katanya sambil menambah matlamat utamanya ialah untuk sentiasa menemani dan memberi sokongan kepada suaminya.

Jeanne berkata, beliau akan memastikan Abdullah menghadiri Perhimpunan Agung Umno kali ini dengan sempurna, khususnya aspek penampilan.

"Saya secara kasar tahu apa yang perlu dipakai... kami sudah mengeluarkan beberapa (persalinan Baju Melayu) dan memilih yang mana paling sesuai," katanya.

Pada majlis itu, Jeanne turut berkongsi banyak cerita mengenai kehidupannya termasuk perkara yang ingin dilakukan bersama dua anak kesayangannya, Nadiah Kimie dan Nadene Kimie Othman.

Katanya, Nadiah dan Nadene hanya berpeluang menemuinya pada masa terluang atau sebelum beliau memenuhi temujanji yang sudah diatur.

"Saya rindukan masa bersama mereka berdua, keluar bersama-sama untuk menikmati kopi, menonton wayang atau bersiar-siar," katanya.

Jeanne berkata, walaupun menyedari kehidupannya kini agak terkawal, beliau tidak mahu memikirkannya sehingga menjadi beban.

"Saya tiada masa untuk berasa bimbang sebaliknya saya ambil langkah satu persatu... setiap hari apabila saya bangun dari tidur, saya akan ikuti program (yang disusun) dan selalunya memang penuh... saya akan ikut apa yang patut dibuat," katanya.

Jeanne berkata, beliau sungguh terharu dengan sambutan yang diberikan rakyat dalam lawatannya di seluruh negara dan berazam untuk membalas kebaikan itu.

"Apabila saya pergi negeri lain, memang ramai hendak jumpa saya dan saya rasa berbesar hati... amat mengagumkan, saya mendapat sambutan baik, maka perlulah saya membalasnya dengan cara baik termasuk membantu mana yang boleh," katanya.

Menyentuh mengenai misinya untuk menggalakkan rakyat berkebun di halaman rumah, Jeanne berkata sejak kecil, beliau dididik mencintai tumbuh-tumbuhan.

Katanya, bapanya, Matthew Danker, suka menanam pokok atau sebarang tumbuhan sebanyak empat batang untuk dijaga mereka empat beradik.

"Saya selalunya akan memastikan pokok dijaga baik, jika ia berbuah saya akan berusaha membungkus buah dengan rapi menggunakan kertas, diketip atau digam supaya nampak kemas," katanya yang banyak menanam ulam-ulaman dan herba di kediamannya sekarang.

Seperti yang sering dialami pasangan yang baru berkahwin, Jeanne tidak terlepas daripada soalan bagaimana beliau dilamar. Namun beliau mahukan detik manis itu menjadi rahsia mereka berdua.

"Saya sudah menjadi isteri Perdana Menteri dan apa yang berlaku (bagaimana beliau dilamar) adalah antara kami berdua dan kami mahu ia kekal sebagai rahsia kami," katanya.

Mengenai isu wanita dan kanak-kanak yang menjadi perhatian sekarang, Jeanne berkata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, melakukan tugas dengan baik dan percaya semua isu boleh diselesaikan melalui perbincangan dengan semua pihak.

Jeanne berkata, wanita berkarier perlu mengorbankan kehidupan sosial dan memberikan sepenuh tumpuan dan masa kepada anak-anak.

"Ibu perlu menghabiskan sebanyak mungkin masa bersama kanak-kanak... Ia perlu kerana kanak-kanak mudah meniru perlakuan kita, jadi perlulah kita memberi contoh terbaik kepada mereka," katanya.

No comments: