Saturday, November 03, 2007

Dr. Mahathir rindu tunggang kuda

Oleh Norliza Abd. Rahman


DR. MAHATHIR Mohamad ketika berada di pejabatnya di Yayasan Kepimpinan Perdana dengan ditemani isterinya di Putrajaya, semalam.

PUTRAJAYA 2 Nov. – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad membayangkan beliau tidak akan menghadiri Perhimpunan Agung UMNO minggu depan ekoran keadaan kesihatannya.

Dr. Mahathir berkata, dalam keadaan sekarang beliau tidak boleh terlalu terdedah di tempat yang mempunyai ramai orang.

Katanya, selepas dibenarkan keluar dari Institut Jantung Negara (IJN) pada 21 Oktober lalu ada tempat yang beliau boleh kunjungi dan ada pula tidak.

“Yang mana boleh pergi... pergi, masalahnya kalau orang ramai orang nak bersalam, keadaan terlalu sesak.

“Bila sihat nanti bolehlah jumpa, sekarang pun jumpa juga tapi sesetengah orang saja,” katanya ketika ditanya sama ada akan menghadiri Perhimpunan Agung UMNO Kali Ke-58 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) mulai 5 hingga 9 November ini.

Beliau berkata demikian kepada Utusan Malaysia ketika ditemui sewaktu mengunjungi pejabatnya di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini, hari ini.

Pada pertemuan itu beliau ditemani isterinya, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali.

Bekas Perdana Menteri itu sebelum ini menjalani pembedahan pintasan jantung kali kedua di IJN pada 4 September lalu dan kemudiannya menjalani pembedahan membersihkan jangkitan pada 22 September.

Beliau pulang ke rumah pada 21 Oktober lalu setelah berada di IJN selama 50 hari.

Sementara itu, Dr. Mahathir turut melahirkan rasa rindunya untuk melakukan aktiviti kegemarannya iaitu menunggang kuda.

“Kuda...,” jawabnya spontan sambil tersenyum ketika ditanya apa yang ingin dilakukannya selepas keluar dari IJN.

Dalam pada itu, Dr. Mahathir dan Dr. Siti Hasmah meluangkan masa kira-kira setengah jam di yayasan tersebut dan tidak melepaskan peluang memberi makan kepada puluhan ekor ikan kap Jepun yang dipelihara dalam dua buah kolam di situ.

Teruja

Sejurus tiba di yayasan tersebut, beliau dan isteri disambut oleh kakitangan yang kelihatan cukup teruja melihat keadaannya yang semakin sihat.

Dr. Mahathir naik ke tingkat satu dengan menaiki lif ke pejabatnya dan mengambil kesempatan duduk kira-kira lima minit di atas kerusinya.

Pada masa itu, beliau turut bertanya kepada seorang petugas wanita mengenai satu kotak kuih raya yang terdapat di atas mejanya tetapi tidak memakannya.

Walaupun hanya seketika berada dalam pejabatnya, Dr. Mahathir sempat membelek beberapa buah fail sambil dibantu oleh Dr. Siti Hasmah.

Beliau turut meninjau pemandangan tasik di tepi beranda sebelum keluar dari pejabatnya.

Dalam nada perlahan Dr. Mahathir memberitahu, beliau perlu melakukan aktiviti ringan seperti berjalan untuk menguatkan tenaganya.

“Saya rasa sihat, tapi kena perlahan-lahanlah... tak boleh buat kuat-kuat lagi, belum pulih sepenuhnya, nanti dah sihat bolehlah, suara pun tak kuat,” katanya sambil tersenyum.

Mengenai selera makan Dr. Mahathir, beliau sambil berseloroh berkata, walaupun tidak berselera untuk makan sesuatu tetapi perlu berbuat demikian bagi memulihkan kembali kekuatan tenaga badannya.

Dr. Mahathir sempat memberitahu, sudah dua bulan setengah beliau tidak mengunjungi Yayasan Kepimpinan Perdana selepas kali terakhir berbuat demikian pada 29 Ogos lalu.

Sementara itu, Dr. Siti Hasmah memberitahu, suaminya sudah melakukan beberapa aktiviti di luar rumah seperti berjalan-jalan pada waktu petang di tepi tasik Putrajaya dan berkebun.

“Kalau duduk dalam rumah sahaja pun Tun jemu, ini memang rancangan kita (mengunjungi yayasan) sebab Tun perlu buat banyak latihan dan ini sebahagian daripadanya.

“Selera makan Alhamdulillah... Ahad lepas Tun ke kebun, kelmarin (semalam) jalan-jalan dekat tepi tasik di sini,” katanya gembira.

No comments: