Sunday, August 16, 2009

Umno Bera lulus usul Anwar pengkhianat

Umno Bera lulus usul Anwar pengkhianat

BERA: Umno Bahagian Bera sebulat suara meluluskan usul yang menyatakan sokongan mereka terhadap kenyataan Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang melabelkan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai pengkhianat bangsa.

Ketua Umno bahagian itu yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata usul berkenaan diluluskan dalam mesyuarat perwakilan Umno bahagian itu, semalam.

“Bukan saja Anwar, malah sesiapa saja yang mengkhianati bangsa dan agama layak digelar pengkhianat. Umno Bahagian Bera bangga apabila Timbalan Perdana Menteri (Muhyiddin) tetap dengan pendirian untuk tidak menarik balik kenyataan dikeluarkan dan kami juga tetap berdiri teguh menyokong dan mempertahankan beliau,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bera berkata demikian ketika berucap pada majlis penutup mesyuarat perwakilan Umno bahagian itu yang dirasmikan Muhyiddin di sini, semalam.

Sementara itu, Ketua Umno Bahagian Temerloh, Datuk Sharkar Shamsuddin, turut menyatakan pendirian Umno bahagian berkenaan yang menyokong kenyataan yang dikeluarkan Muhyiddin itu.

“Jika beliau disaman RM100 juta sekalipun, Umno Bahagian Temerloh sanggup disaman bersama kerana kami tetap dengan pendirian menyokong penuh kenyataan berkenaan,” katanya pada majlis perasmian penutup mesyuarat perwakilan Umno bahagian itu yang turut dirasmikan Muhyiddin.

Hadir sama pada kedua-dua majlis berkenaan adalah Pengerusi Badan Perhubungan Umno merangkap Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob.

No comments: