Sunday, August 16, 2009

Soh, Teoh kahwin ghaib

Soh, Teoh kahwin ghaib

Oleh Nasir Abd Wahab
anasir@bharian.com.my


SOH (duduk tengah) bergambar bersama keluarga mentuanya di Taman Seri Kelemak, Alor Gajah, semalam.

Ikuti inkues suami melalui akhbar

ALOR GAJAH: Soh Cher Wei kini menjadi menantu keluarga mendiang Teoh Beng Hock selepas menjalani ritual keagamaan dan upacara mempersembahkan minuman teh kepada mentuanya di Taman Seri Kelemak, dekat sini, pagi semalam.

Bapa saudara Teoh, Teuu Ching He, 62, berkata upacara perkahwinan ghaib itu bermula sebaik Soh yang hadir bersama ibu bapa dan keluarganya dari Batu Pahat menyembah nenek moyang Teoh dan mempersembahkan minuman teh kepada ibu bapa mendiang iaitu Teo Leng Hwee dan Cheong Siew Hua.

"Upacara ringkas ini berjalan lancar dalam suasana baik cuma sedikit diselubungi perasaan sedih kerana Soh tidak dapat disandingkan dengan suaminya (Beng Hock) yang sudah meninggal dunia," katanya ketika ditemui di Taman Seri Kelemak, semalam.

Majlis serba ringkas itu juga mendapat liputan media Cina tempatan, selain sebuah stesen TV tempatan berbahasa Mandarin.

Beng Hock, 30, Setiausaha Politik Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Perumahan dan Penyelesaian Kilang Haram Selangor, ditemui mati di koridor tingkat 5, Plaza Masalam di Seksyen 9, Shah Alam pada 16 Julai lalu, beberapa jam selepas disoal siasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan kes salah guna peruntukan wakil rakyat dari Pakatan Rakyat.

Sementara itu, Soh, 28, ketika ditemui selepas majlis berkenaan, kelihatan tenang dan mengakui kini memberi fokus kepada tugasan mengajar di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Malayan Ayer Hitam di Batu Pahat selepas bertukar dari Semenyih, awal bulan ini.

Katanya, kehilangan Teoh memang sukar untuk diterima tetapi perkara itu tidak akan melemahkan semangatnya untuk terus mengharungi kehidupan.

"Saya kini hanya mengikuti kes inkues kematian mendiang menerusi akhbar kerana perlu mengajar di sekolah baru. Perasaan saya kini lebih tenang selepas keluarga Teoh menerima saya sebagai menantu mereka," katanya.

No comments: