Sunday, August 16, 2009

Kedudukan Bernas ke Kabinet

Kedudukan Bernas ke Kabinet

Oleh Norfatimah Ahmad
tim@bharian.com.my

Kajian keupayaan teruskan fungsi siap enam bulan lagi

KUALA LUMPUR: Kedudukan Padiberas Nasional Berhad (Bernas) sebagai syarikat strategik pembekalan beras negara akan ditentukan selewat-lewatnya Oktober ini apabila laporan lengkap kajian yang dijalankan terhadap prestasi syarikat itu dibentangkan kepada Kabinet.

Ketua Pengarah Unit Perancang Ekonomi (EPU), Jabatan Perdana Menteri, Datuk Noriyah Ahmad, berkata ketika ini, kajian berkenaan pada peringkat akhir dan dijangka diserahkan kepada pihaknya dalam tempoh sebulan.

Beliau berkata, EPU perlu meneliti laporan kajian itu dan membentangkannya kepada Kabinet untuk mendapat maklum balas sebelum hujung tahun ini kerana perjanjian konsesi Bernas akan berakhir Januari 2010.

"Kajian itu untuk mengetahui tahap keupayaan Bernas sama ada syarikat itu mampu meneruskan fungsi dan tanggungjawab sebagai pembekal dan pengeksport tunggal beras negara.

"Bagaimanapun, keputusan muktamad mengenainya iaitu untuk merombak, meneruskan atau menamatkan perjanjian konsesinya akan ditentukan Kabinet," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Bernas memeterai perjanjian konsesi sebagai pengimport tunggal beras negara pada 1996 dan memperoleh hak eksklusif itu untuk tempoh 15 tahun sehingga 11 Januari 2010.

Sebelum ini, Bernas dilaporkan terbabit dalam beberapa insiden yang menyebabkan banyak pihak mempertikaikan statusnya sebagai syarikat yang memonopoli urus niaga mengimport dan membekal beras, antaranya membawa masuk beras tanpa permit import (AP) sekali gus melanggar Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 dan menaikkan harga beras di pasaran tanpa merujuk kepada kerajaan.

Pendedahan berkaitan urus niaga saham Bernas mengenai penguasaan 31 peratus sahamnya yang kini dikuasai firma pelaburan berpangkalan di Hong Kong, Wang Tak Co Ltd juga menimbulkan pelbagai reaksi yang mahu kerajaan campur tangan untuk mengelak Bernas dikuasai firma asing.

Wang Tak kini muncul pemegang saham tunggal terbesar Bernas apabila menguasai 147.51 juta saham atau 31.36 peratus daripada keseluruhan 40.402 juta saham syarikat itu.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani yang terdahulu, Datuk Mustapa Mohamed, berkata kajian prestasi Bernas itu dilakukan berikutan imej syarikat berkenaan yang terjejas ekoran masalah bekalan dan harga beras yang dialami negara.

Mustapa berkata, antara cadangan yang dipertimbangkan termasuk mewujudkan pertubuhan lain bagi menggantikan Bernas atau menghidupkan semula fungsi Lembaga Padi dan Beras Negara (LPN).

Noriyah berkata, mesyuarat dengan Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) sudah dijalankan bagi membincangkan kajian berkenaan.

No comments: