Sunday, August 16, 2009

SPRM henti siasatan politik serta-merta

SPRM henti siasatan politik serta-merta

Oleh Farrah Naz Karim
farrah@nst.com.my

Suruhanjaya terima kecaman, pengarah siasatan sanggup hilang jawatan jika tindakan salah

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memberhentikan siasatan serta-merta terhadap semua kes membabitkan ahli politik berikutan suruhanjaya itu terus menerima kecaman daripada pelbagai pihak berhubung cara siasatan dijalankan.

Sambil melahirkan kekecewaan berhubung perkara itu, Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Shukri Abdull, berkata beliau bersedia kehilangan jawatannya itu jika tindakan diambilnya menyalahi peraturan sedia ada.

“Saya dan kakitangan lain tidak dapat bertugas seperti diharapkan jika setiap perkara dilakukan mendapat campur tangan politik. Kami juga sering menerima kritikan daripada masyarakat.

“Oleh itu, saya akan menghantar satu rujukan lengkap kepada ketua saya mengenai masalah yang dihadapi SPRM minggu depan. Rujukan itu antara lain merangkumi mekanisme berlainan apabila sesuatu kes itu membabitkan ahli politik,” katanya.

Kelmarin, SPRM dituduh bertindak kasar ketika menahan pembantu kepada seorang Exco kerajaan negeri Selangor, Wong Chuan How, 50, di pejabat perkhidmatan wakil rakyat di Sungai Pelek, Sepang, Selangor.

Dalam kekecohan jam 10 pagi itu, Wong yang cedera di kaki mendakwa dia ditolak kakitangan SPRM.

Merujuk kejadian Wong itu, beliau berkata, SPRM mengikut prosedur yang ditetapkan ketika penahanan dibuat, termasuk membacakan amaran bertulis sebelum penahanan.

Shukri berkata, suspek perlu dibawa ke pejabat SPRM kerana semua peralatan yang diperlukan untuk merekod keterangan suspek berada di ibu pejabat atau pejabat siasatan SPRM.

“Perkara seperti cap jari, rekod gambar dan urusan merekod keterangan perlu dibuat di pejabat SPRM.

“Jadi, jika rakyat menyokong tindakan membanteras rasuah, mereka perlu bekerjasama dengan SPRM dan tidak membuat tuduhan melulu kepada suruhanjaya itu,” katanya.

No comments: