Sunday, August 16, 2009

Rohaizat temui penduduk di 5 kenduri

Rohaizat temui penduduk di 5 kenduri



Rohaizat Othman

BUKIT MERTAJAM: Biarpun baru sehari diumumkan calon Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir, Rohaizat Othman, 38, sudah menghadiri lima kenduri di sekitar kawasan itu, semalam.

Setiausaha Umno Bahagian Permatang Pauh itu berkata, kebanyakan jemputan kenduri itu diterima sebelum namanya diumumkan sebagai calon BN oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, kelmarin.

"Kebanyakan tetamu yang saya temui di kenduri berkenaan menyambut baik kedatangan saya dan memberi kata-kata semangat supaya berjaya pada pilihan raya kecil itu nanti," katanya di sini, semalam.

Kelmarin, Rohaizat yang juga Penasihat Undang-Undang Syariah diumumkan sebagai calon BN pada majlis pelancaran jentera pilihan raya BN Permatang Pasir manakala Pas pula mengumumkan Pesuruhjaya Pas Pulau Pinang, Salleh Man sebagai calon mereka.

Rohaizat berkata, pemilihan sebagai calon BN mengejutkan banyak pihak termasuk isterinya, Khairul Niza Abdul Razak yang masih terperanjat dengan berita itu yang hanya diketahuinya menerusi televisyen.

"Isteri dan anak saya terkejut, tetapi pada masa sama bersyukur kerana diberi kepercayaan oleh parti. Beliau memberitahu akan menemani saya berkempen," katanya.

"Mungkin kehidupan saya sepanjang kempen tidak banyak berubah kerana selama ini saya memang sibuk dengan kerja parti. Apa yang berbeza, dulu saya mengatur jadual untuk parti, tetapi kini jadual saya pula diaturkan," katanya.

Mengulas mengenai perbezaan usia agak ketara dengan calon Pas, Rohaizat berkata, walaupun Salleh itu boleh dikategorikan veteran politik, tetapi pengalaman politiknya juga tidak kurang berbanding calon Pas itu.

Beliau berkata, usia tidak boleh dijadikan kayu pengukur kepada kemenangan, sebaliknya penerimaan pengundi terhadap calon bertanding.

No comments: