Sunday, August 16, 2009

Tindakan dikenakan jika enggan bekerjasama

Tindakan dikenakan jika enggan bekerjasama

KUALA LUMPUR 15 Ogos - Pembantu kepada Exco Kerajaan Selangor, Ronnie Liu, Wong Chuan How boleh dikenakan tindakan undang-undang jika siasatan mendapati dia enggan bekerjasama semasa disoal-siasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), semalam.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, mengikut peruntukan undang-undang, SPRM berhak menahan ahli politik itu untuk siasatan.

''SPRM mengikut undang-undang. Dia (SPRM) ada waran. Kalau Chuan How enggan, ini bermakna dia melakukan satu kesalahan kerana menghalang pegawai awam untuk menjalankan tugas," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Tamat Latihan dan Penyampaian Sijil Kursus Asas Inspektor (Awam) siri 3 bagi tahun ini di Pusat Latihan Polis (Pulapol) di sini hari ini.

Chuan How, 51, boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 188 Kanun Keseksaan kerana tidak bekerjasama dengan pegawai awam yang menjalankan tugas dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil kerana mengeluarkan kata-kata kesat terhadap penjawat awam.

Semalam, ketika Ahli Majlis Perbandaran Sepang itu ditahan di pejabatnya di pusat khidmat DAP di Sungai Pelek, dia tidak memberi kerjasama kerana enggan menandatangani notis tangkapan dan masuk ke dalam kenderaan SPRM.

Malah dia turut dikatakan membuat kecoh apabila berpura-pura jatuh ketika menghampiri kenderaan SPRM dan menuduh pegawai SPRM sengaja menolaknya.

Berikutan insiden itu, Chuan How yang berusia 51 tahun dan SPRM masing-masing membuat laporan di Balai Polis Sungai Pelek, Sepang.

No comments: