Sunday, August 16, 2009

Komitmen pemimpin

Komitmen pemimpin

Oleh Abdul Razak Raaff, Rosli Abdul Jalil dan Irwan Shafrizan Ismail
bminggu@bharian.com.my


MUHYIDDIN menerima memorandum 'menyokong kenyataan Timbalan Perdana Menteri mengenai Anwar sebagai pengkhianat bangsa Melayu' daripada Ketua Bahagian Paya Besar, Datuk Ahmad Tajuddin Sulaiman (kiri) sambil melaungkan hidup Umno bersama-sama Adnan, Ketua Bahagian Kuantan, Datuk Wan Adnan Wan Mamat (dua dari kanan) dan Ketua Bahagian Indera Mahkota, Mohd Hazmi Yusof (kanan) selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno di Stadium Tertutup Sukpa Indera Mahkota, Kuantan, semalam.

Pulih persepsi negatif terhadap Umno: Muhyiddin

TEMERLOH: Usaha memulihkan persepsi negatif rakyat terhadap Umno dan Barisan Nasional (BN) memerlukan inisiatif dan komitmen tinggi segenap lapisan kepemimpinan parti, terutama peringkat akar umbi, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Timbalan Presiden Umno berkata, ia dapat mengembalikan semula kekuatan dan mewujudkan masa depan yang lebih baik, terutama bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Katanya, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sudah mengorak langkah sama ada di dalam kerajaan atau menerusi parti untuk memperbetulkan salah tanggap rakyat terhadap kerajaan menerusi gagasan 1Malaysia 'Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.'

"Bagaimanapun, bagi membawa proses perubahan baru yang dapat menganjak pemikiran kepada sesuatu yang lebih besar, ia perlu dipikul bersama segenap pimpinan dalam parti, termasuk akar umbi.

"Mereka adalah sebahagian daripada rangkaian penting kepada pemimpin atasan. Semua ini boleh membantu parti supaya dalam tempoh tidak begitu lama, kita dapat meletak semula landasan baru bagi memulihkan keyakinan dan kepercayaan rakyat," katanya pada majlis penutup mesyuarat perwakilan Umno Bahagian Temerloh di sini, semalam.

Hadir sama, Menteri Besar yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri, Datuk Seri Adnan Yaakob; Ketua Umno Bahagian Temerloh, Datuk Mohd Sharkar Shamsuddin dan timbalannya, Datuk Mohd Saifuddin Abdullah yang juga Timbalan Menteri Pengajian Tinggi.

Muhyiddin berkata, usaha memulihkan imej dan persepsi rakyat terhadap parti itu adalah cabaran besar yang perlu dipikul semua pemimpin parti kerana ia bukan suatu usaha yang mudah kerana pembangkang akan sentiasa mengambil kesempatan untuk menidakkan pencapaian kerajaan BN.

"Dengan kekuatan baru yang mereka peroleh selepas pilihan raya umum lalu, mereka mula mencabar banyak perkara yang selama ini kita perjuangkan, termasuk perkara yang menjadi asas tonggak dalam membina negara bangsa Malaysia," katanya.

Beliau turut mengingatkan pihak tertentu supaya tidak mengungkit perkara yang sudah disepakati bersama seperti kontrak sosial dalam Perlembagaan Negara.

Terdahulu, Muhyiddin menutup mesyuarat perwakilan Umno Bahagian Bera di Dewan Majlis Daerah Bera, Padang Luas, Kerayong, tengah hari semalam.

Dalam ucapannya, beliau melahirkan penghargaan kepada seluruh anggota Umno bahagian itu yang meluluskan usul menyokong pendirian beliau yang menyifatkan Penasihat Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai pengkhianat kepada bangsa dan agama.

No comments: