Sunday, August 16, 2009

BN yakin pengundi mampu buat keputusan rasional

BN yakin pengundi mampu buat keputusan rasional

Oleh Abdul Razak Raaff, Rosli Abdul Jalil dan Irwan Shafrizan Ismail
bminggu@bharian.com.my


PETUGAS SPR negeri sibuk membuat persiapan bagi menghadapi pilihan raya kecil DUN Permatang Pasir di Pulau Pinang, semalam.

Parti pernah menang di DUN Permatang Pasir: Muhyiddin

KUANTAN: Barisan Nasional (BN) percaya pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir, Pulau Pinang terutama generasi muda mampu membuat keputusan rasional bagi memilih wakil rakyatnya pada pilihan raya kecil 25 Ogos ini, seterusnya memberi harapan untuk meraih sokongan dan kemenangan.

Timbalan Presiden Umno yang juga Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata walaupun kawasan DUN itu dikatakan kubu kuat Pas, tetapi beliau percaya mereka mampu membuat penilaian bijak berdasarkan perkembangan politik semasa di Pulau Pinang yang diperintah pembangkang.

"Permatang Pasir ini...kita ada rekod pernah menang berkali-kali dan kita kalah. Jadi dilihat pengundi mempunyai cara pemikiran sendiri.

"Orang kata ia kubu kuat Pas, tapi kalau ikut rekod kalau kubu kuat tidak mungkin kita menang selalu juga. Atas dasar ini kita harap kali ini kita diberi peluang raih sokongan dan kemenangan," katanya selepas merasmikan mesyuarat perwakilan bersama Umno Bahagian Kuantan, Paya Besar dan Indera Mahkota, di sini, semalam.

Hadir sama, Menteri Besar yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob; Ketua Umno Bahagian Kuantan, Datuk Wan Adnan Wan Mamat; Ketua Umno Bahagian Paya Besar, Datuk Ahmad Tajuddin Sulaiman dan Ketua Umno Bahagian Indera Mahkota, Mohd Hazmi Yusof.

Muhyiddin berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai peluang BN pada pilihan raya kecil DUN Permatang Pasir yang diadakan berikutan kematian penyandangnya daripada Pas, Datuk Mohd Hamdan Abd Rahman pada 31 Julai lalu kerana sakit jantung.

Kelmarin, beliau mengumumkan Setiausaha Umno Bahagian Permatang Pauh, Rohaizat Othman, 38, sebagai calon BN manakala Pas pula menamakan Pesuruhjaya Pas Pulau Pinang, Mohd Salleh Man, 52, yang juga seorang ahli perniagaan sebagai calon.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan esok sebagai hari penamaan calon, manakala pengundian pada 25 Ogos ini.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, BN akan menggunakan pendekatan sama ketika menghadapi pilihan raya kecil DUN Manek Urai di Kelantan, bulan lalu, termasuk mewujudkan 'command center' bagi menyelaras jentera parti komponen.

"Jentera pilihan raya sudah memulakan kerja di kawasan DUN berkenaan yang sebahagian besar adalah pengundi muda.

"Saya berharap pengundi di sana akan beri sokongan pada calon kita (Rohaizat) kerana beliau berkelayakan, lulus undang-undang syariah, berpengalaman dan mempunyai hubungan baik dengan masyarakat. Oleh itu, saya berharap kali ini angin perubahan yang sudah mula meniup di seluruh negara akan berlaku di Permatang Pasir," katanya.

Muhyiddin juga menegaskan bahawa jentera pilihan raya BN juga perlu lebih agresif memberi penjelasan dan pemahaman mengenai dasar kerajaan dan gagasan 1Malaysia 'Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.'

No comments: