Sunday, August 16, 2009

Gantung sekolah jika sertai demonstrasi

Gantung sekolah jika sertai demonstrasi

Oleh Faiza Zainudin
faiza@bharian.com.my

Kementerian beri amaran tegas elak pelajar diperguna terbabit kegiatan politik pembangkang

KUALA LUMPUR: Semua pelajar dan murid yang menyertai perhimpunan haram membantah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) anjuran Gerakan Mansuh ISA (GMI) di sini, pada 1 Ogos lalu, bakal berhadapan tindakan tegas termasuk digantung sekolah jika mengulangi perbuatan itu pada masa depan.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi berkata tindakan itu terpaksa diambil selepas usaha pihak sekolah memberi amaran dan khidmat nasihat kaunseling kepada pelajar terbabit tidak memberi sebarang kesan.

Katanya, usaha itu juga bagi mengelakkan lebih ramai pelajar terbabit dalam aktiviti tidak bermoral itu dengan membiarkan diri mereka diperguna pihak tertentu demi kepentingan politik parti pembangkang.

“Ada di kalangan mereka (pelajar) yang sudah disoal siasat mengakui sebenarnya mereka diupah, mereka seronok berbuat demikian kerana diberi duit, peluang naik bas, datang ke bandar.

“Oleh itu, usaha pertama kita adalah bagi nasihat dan khidmat kaunseling kepada mereka ini dulu, dan sekiranya mereka masih mengulangi perbuatan itu, kita akan ambil tindakan tegas termasuk menggantung persekolahan mereka sebab kita tidak mahu pelajar ini dipengaruhi unsur negatif yang tidak baik untuk mereka,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Tahunan Majlis ke-54 Persatuan Sejarah Malaysia di sini, semalam.

Perarakan dan perhimpunan haram yang diadakan GMI bagi memansuhkan ISA di ibu kota pada 1 Ogos lalu, disertai kira-kira 5,000 pemimpin dan penyokong parti pembangkang.

Kejadian itu bukan saja memburukkan imej negara malah menyusahkan rakyat serta menyebabkan kerugian hampir RM200 juta apabila banyak premis perniagaan termasuk pusat membeli-belah terpaksa ditutup bagi mengelak kejadian tidak diingini.

Sementara itu, diminta mengulas cadangan mewajibkan subjek Sejarah bagi murid sekolah rendah, Mohd Puad berkata usaha itu dijangka dapat dilaksana pada 2012 membabitkan murid Tahap Dua di sekolah rendah seluruh negara.

Beliau berkata, pada masa ini, sebanyak 500 sekolah rendah terpilih dari kawasan bandar dan luar bandar melaksana projek perintis bagi kaedah pengajaran dan pembelajaran subjek Sejarah bermula sejak Januari lalu.

“Saya belum mendapat maklum balas kejayaan projek ini, pada masa sama kita sedang meneliti cadangan ini bagi memastikan keberkesanannya termasuk dari kandungan kurikulum, garis panduan yang perlu diambil kira, kos pelaksanaan dan latihan guru.

“Turut diambil kira pengisian pengajaran ini yang tidak terhad belajar di dalam kelas semata-mata, sebaliknya mengutamakan kaedah interaksi yang menyeronokkan dengan aktiviti seperti pertandingan, perbahasan, kuiz dan perkhemahan sejarah,” katanya.

Mengenai tindakan sama ada untuk menutup atau meneruskan operasi persekolahan atau penundaan tarikh peperiksaan bagi mengelak jangkitan wabak selesema babi atau Influenza A (H1N1) yang semakin membimbangkan terutama di kalangan ibu bapa dan pelajar, beliau berkata, sebarang keputusan bergantung kepada Kementerian Kesihatan.

No comments: