Sunday, August 16, 2009

Jentera parti perlu utama keselamatan pengundi

Jentera parti perlu utama keselamatan pengundi

Oleh Siti Fatimah Mohamed Anwar
ctfa@bharian.com.my


HISHAMMUDDIN dan Ketua Polis Negeri, Datuk Ayub Yaakob (kanan) berbincang sebelum mesyuarat bersama pegawai polis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang, semalam.

Kementerian bimbang trend pilihan raya terdahulu: Hishammuddin

JITRA: Kementerian Keselamatan Dalam Negeri mengutamakan aspek keselamatan pengundi bagi memastikan proses pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir, 25 Ogos ini berjalan lancar.

Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata langkah itu perlu kerana beliau bimbang suasana tegang akan tercetus sepanjang proses pilihan raya kecil itu berlangsung, termasuk sepanjang berkempen dan pada hari mengundi.

Beliau berkata, kebimbangan itu lahir selepas beliau menilai trend pilihan raya kecil terdahulu, termasuk insiden yang terjadi pada pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh, tahun lalu.

"Saya bimbang hal berkaitan keselamatan, kerana mengikut trend apabila calon Umno berdepan dengan calon Pas ditiup (hasut) pula Parti Keadilan Rakyat (PKR). Jadi, saya harap apa yang dilalui ketika pertandingan merebut kerusi Parlimen Permatang Pauh tidak berulang.

"Saya menasihatkan jentera parti supaya memberi tumpuan terhadap keselamatan. Jika kita hendak berkempen atau memastikan calon kita menang, jangan buat sesuatu perkara yang boleh menjejaskan keselamatan, keharmonian dan keselamatan pengundi yang ingin menunaikan hak mereka," katanya selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Umno Bahagian Kubang Pasu, di sini, semalam.

Sementara itu, Hishammuddin yang juga Naib Presiden Umno berkata, DUN Permatang Pasir adalah kubu kuat Pas, bagaimanapun ini tidak bermakna calon BN akan menyerah kalah sebaliknya bekerja keras bagi memastikan kemenangan.

"Peluang BN dalam kubu kuat dia (Pas), faham-faham sajalah... tetapi saya mahu memaklumkan kepada jentera parti bahawa kita tidak boleh kalah," katanya.

No comments: