Thursday, July 02, 2009

'Tuntutan' penduduk Kampung Buah Pala pengajaran kepada pakatan pembangkang

'Tuntutan' penduduk Kampung Buah Pala pengajaran kepada pakatan pembangkang

Oleh ABU HAKIM TANZIMUDDIN KHAN
abuhakim.khan@utusan.com.my

PENDUDUK Kampung Buah Pala, Gelugor yang kini berhadapan dengan masalah rumah mereka bakal dirobohkan kelihatannya tidak mahu mendengar sebarang penjelasan daripada Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

Walaupun Guan Eng berhujah panjang lebar dengan menuduh Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon dan kerajaan Barisan Nasional yang berkuasa sebelum ini sebagai punca musibah yang dilalui penduduk namun mereka langsung tidak mahu mendengarnya.

Mereka hanya mahu Guan Eng menyelamatkan kampung halaman yang mereka duduki sejak lebih 100 tahun lalu atau ketua menteri itu meletakkan jawatan.

Perkara yang menimbulkan persoalan di sini ialah mengapa sejumlah lebih kurang 200 penduduk yang rata-rata dikatakan anggota pertubuhan haram Hindraf itu boleh membuat pelbagai tuntutan.

Inilah yang berlaku apabila kempen pilihan raya parti pembangkang dan dalam konteks ini ialah DAP, PKR dan Pas menabur janji kosong tanpa keupayaan untuk melaksanakannya.

Apabila calon pakatan pembangkang berjanji akan memberi perhatian kepada masalah di sesuatu tempat rakyat terus membuat tafsiran masalah mereka akan selesai dengan memilih calon berkenaan.

Penduduk mula membuat tuntutan yang bukan-bukan termasuk menggertak untuk tidak mengundi parti tertentu dalam pilihan raya seterusnya apabila apa sahaja permintaan mereka tidak dipenuhi.

Hakikatnya kerja-kerja merobohkan rumah-rumah di Kampung Buah Pala adalah mengikut undang-undang.

Kampung berkenaan pada asalnya adalah di atas tanah milik kerajaan yang kemudiannya dijual kepada Koperasi Pegawai Kerajaan Pulau Pinang untuk dimajukan.

Pemaju kawasan berkenaan telah menawarkan pampasan sehingga RM200,000 bagi setiap keluarga yang didaftarkan dan disahkan mempunyai kediaman di situ.

RM200,000 merupakan sejumlah besar yang menyaksikan sebahagian besar penduduk terlibat menerimanya dan menjalani kehidupan mewah di tempat lain dengan aman damai.

Tinggal kini segelintir penduduk yang enggan meninggalkan kawasan berkenaan yang bukan milik mereka.

Mereka mengambil kesempatan mengemukakan pelbagai tuntutan. Mereka mendakwa kerajaan negeri boleh menghalang kerja-kerja merobohkan kediaman mereka sekiranya ia mahu.

Mereka tidak mengendahkan hujah Guan Eng bahawa kerajaan negeri tidak berupaya berbuat demikian kerana pemaju bertindak mengikut undang-undang.

Segala fakta mengenai masalah di Kampung Buah Pala telah dihujahkan di mahkamah dan pemaju memenangi kes berkenaan.

Kini kerajaan pakatan pembangkang yang telah menjanjikan rakyat akan dimanjakan di bawah pemerintahannya perlu berusaha gigih untuk memulihkan imejnya. Anggota kumpulan Hindraf telah beralih arah.

Ketika berhimpun di Komtar kelmarin, mereka memegang sepanduk antara lain tertulis, What is CAT?, Jangan cabul maruah kaum India, Guan Eng 'walk your talk', What is DAP's real agenda, Tukar ADUN Seri Delima dan 'Jom Ubah' Guan Eng cakap kosong.

Mereka turut memegang kain rentang tertulis 'Kami berharap Ketua Menteri dan kerajaan pakatan rakyat membela perkampungan High Chappral seperti dijanjikan', sambil melaung-laung meminta Guan Eng turun dari pejabatnya untuk menemui mereka.

Sehingga ke akhir Guan Eng tidak bertemu mereka.

Berhati-hatilah ketika menabur janji jangan sampai memakan diri.

No comments: