Dakwaan Hadi UMNO gagal wujud perpaduan dibidas
KUALA LUMPUR 1 Julai - Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hari ini menyelar tindakan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang mendakwa UMNO gagal menjadi model perpaduan orang Melayu dan rakyat di negara ini dan menyifatkannya sebagai tidak berasas.
Sebaliknya, mereka melihat UMNO sebagai pendokong perpaduan yang membawa ke arah kemerdekaan negara bersama-sama parti MCA dan MIC.
Timbalan Pengerusi Alumni Kelab-kelab UMNO Luar Negara, Datuk Rais Zainuddin berkata, kemerdekaan yang dicapai pada hari ini adalah hasil kesepakatan rakyat yang menjadi asas kukuh perpaduan negara sejak 52 tahun lalu.
"Perjuangan UMNO menuntut Islam sebagai agama Persekutuan dalam Perlembagaan Negara menunjukkan komitmen parti tersebut untuk menjadikan Islam sebagai sumber perpaduan Melayu.
"Perpaduan kaum bertunjangkan prinsip-prinsip Rukun Negara tidak sesekali mengamalkan penindasan kerana pembasmian kemiskinan di negara ini mengambil kira kepentingan semua kaum," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Semalam, Hadi mendakwa UMNO tidak menjadikan Islam dan al-Quran sebagai rujukan bagi mewujudkan perpaduan di negara ini.
Katanya, perpaduan umat Islam adalah berdasarkan hubungan akidah, tetapi UMNO gagal dalam mencapai matlamat tersebut.
Terdahulu, pakatan pembangkang menolak cadangan untuk mewujudkan kerajaan perpaduan yang dicadangkan sendiri oleh Hadi.
Rais berkata, Pas tidak layak bercakap mengenai perpaduan kerana parti tersebut hanya menggunakan Islam sebagai tujuan politik dan kepentingan peribadi.
Sebaliknya, ujar beliau, UMNO lebih komited dalam memperjuangkan Islam di negara ini.
"Kita telah menubuhkan Bank Islam, Tabung Haji dan Majlis Agama Islam di peringkat kebangsaan sedangkan di Kelantan, pentadbirannya masih menggunakan sistem yang sama seperti negeri-negeri yang lain.
"Ironinya, biarpun sudah 15 tahun Pas memerintah Kelantan, tetapi hukum hudud masih belum dilaksanakan," katanya.
Sementara itu, Ketua Umum Barisan Bertindak Perpaduan Melayu, Osman Bakar berkata, dalam perlembagaan UMNO, Islam turut diangkat sebagai salah satu asas dan tujuan perjuangan parti.
"UMNO sentiasa mengambil langkah terbuka ke arah perdamaian seiring dengan ajaran Islam yang menganjurkan persaudaraan dan perpaduan, lebih-lebih lagi di negara kita yang terdiri daripada masyarakat majmuk," katanya.
Timbalan Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Syed Anuar Syed Mohammad pula berpendapat, tindakan Hadi tersebut bertujuan untuk mengalihkan perhatian masyarakat kepada pilihan raya Manek Urai yang semakin hampir.
"Ini merupakan agenda tersendiri yang ditimbulkan Pas untuk memburukkan UMNO dalam usaha meraih undi menjelang pilihan raya tersebut," katanya.
SUKAN : AHAD 19 JULAI 2009
15 years ago
No comments:
Post a Comment