Thursday, July 02, 2009

DAP Kedah keluar Pakatan Rakyat

DAP keluar pakatan

Oleh SAFINA RAMLI
utusankedah@utusan.com.my

-Thomas Su,Pengerusi DAP Kedah/Perlis -Azizan Abdul Razak,Menteri Besar Kedah


ALOR SETAR 1 Julai – DAP Kedah hari ini keluar daripada pakatan pembangkang kerana tidak berpuas hati dengan pentadbiran Pas di negeri ini antara lain termasuk tindakan merobohkan satu-satunya pusat penyembelihan babi di Kampung Berjaya di sini.

Pengerusi DAP Kedah/Perlis, Thomas Su bagaimanapun menyerahkan keputusan sama ada DAP Kedah kekal dalam pakatan pembangkang kepada pemimpin Pusat parti itu.

“Kami kesal kerana kerajaan negeri gagal dalam memberi keadilan kepada semua masyarakat di negeri ini.

“Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata Pas untuk semua, namun mereka gagal menunjukkannya apabila banyak isu tidak diselesaikan dengan baik,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Su memberitahu, antara perkara yang gagal ditangani dengan baik oleh kerajaan negeri adalah isu pusat penyembelihan babi di Kampung Berjaya yang dirobohkan hari ini oleh Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS).

“Memang pusat ini didirikan di tanah milik MBAS namun kerajaan negeri ada kuasa untuk menangguhkan kerja-kerja merobohkan tempat ini.

“Tempoh sebulan yang diberikan kepada pengusaha di pusat ini untuk mencari kawasan lain tidak mencukupi,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, DAP berpendapat janji kerajaan negeri untuk berlaku adil kepada semua pihak tidak dilaksanakan.

“Banyak isu yang mengguris perasaan rakyat di negeri ini dan isu pusat penyembelihan babi membawa unsur negatif kepada rakyat di sini.

“Kami juga tidak puas hati apabila kerajaan negeri tetap berkeras menaikkan kuota 50 peratus kepada pembeli rumah bumiputera di negeri ini,” katanya.






DAP Kedah keluar Pakatan Rakyat

Oleh Nahar Tajri dan Khairiatul Nabila Koderat
bhnews@bharian.com.my

Tindakan kerana tidak puas hati kerajaan negeri tangani isu bukan Melayu

ALOR SETAR: DAP Kedah semalam memutuskan keluar daripada Pakatan Rakyat negeri selepas tidak berpuas hati dengan cara kerajaan negeri pimpinan Pas menangani isu rakyat, khususnya bukan Melayu.

Pengerusi DAP Kedah/Perlis, Thomas Su, berkata keputusan itu dibuat pada mesyuarat tergempar dihadiri pemimpin DAP Kedah di pejabat parti itu di sini, selepas protes menghalang perobohan rumah pemotongan babi di Kampung Berjaya oleh Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) gagal dan tidak mendapat perhatian sewajarnya.

Katanya, keputusan sebulat suara itu dibuat berikutan rasa tidak puas hati DAP terhadap tindakan MBAS meroboh rumah pemotongan babi itu, semalam, selain isu lain yang tidak diselesaikan walaupun sudah berlarutan sekian lama.

"Kami mengenal pasti beberapa isu yang tidak diberi perhatian oleh kerajaan negeri, antaranya isu 50 peratus kuota milikan hartanah Bumiputera dan isu meroboh kuil serta tokong di Jalan Pegawai dan Tanjung Bendahara yang dalam pengetahuan kami sudah diluluskan MBAS.

"Kemuncaknya apabila isu rumah pemotongan babi tidak dibangkitkan oleh Exco Kerajaan Negeri, Datuk Phahrolrazi Zawawi pada mesyuarat ahli majlis mesyuarat negeri hari ini (semalam) walaupun beliau bersetuju berbuat demikian.

"Berikutan itu, wakil DAP dalam kerajaan negeri, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Darul Aman, Lee Guan Aik tidak menyertai mana-mana pihak," katanya di sini, semalam.

Kedah mempunyai 36 kerusi DUN yang mana 16 adalah milik Pas, 14 Barisan Nasional (BN), lima Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan satu DAP.

Su berkata, keputusan itu akan dimaklumkan secara rasmi kepada DAP Pusat.

"Kita serahkan kepada DAP Pusat untuk menentukannya, tetapi pendirian kami ialah DAP Kedah keluar Pakatan Rakyat negeri ini kerana tidak mendapat layanan sewajarnya terutama dalam isu membabitkan kaum minoriti yang menyukarkan perjuangan kami untuk rakyat.

"Ia juga berdasarkan kepada tindak tanduk kerajaan negeri yang tidak selari dengan polisi Pakatan Rakyat," katanya.

Sementara itu, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak, menyerahkan perkara itu kepada DAP, Pas dan Pakatan Rakyat Pusat untuk menentukannya.

Katanya, DAP Kedah tidak sepatutnya memutarbelitkan isu dan mengaburi mata rakyat untuk menutup kelemahan mereka.

"Saya tidak pernah mengarahkan penangguhan sebulan keputusan merobohkan rumah pemotongan babi itu.

"Tempoh penangguhan itu diminta oleh DAP dan saya meminta mereka mencari tapak baru, tetapi selepas sebulan tidak ada apa-apa dan sekarang mereka hendak keluar... keluarlah jika DAP Kedah mengatasi DAP Pusat," katanya.

No comments: