Thursday, July 02, 2009

Gobalakrishnan terima 2 SMS ugutan bunuh

Gobalakrishnan terima 2 SMS ugutan bunuh

Oleh Mohamed Farid Noh
mfarid@bharian.com.my

Ahli Parlimen PKR minta polis siasat

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Padang Serai dari Parti Keadilan Rakyat (PKR), N Gobalakrishnan membuat laporan kepada pegawai polis dari Balai Polis Sentul di bangunan Parlimen di sini, kira-kira jam 11.45 pagi semalam, kerana mendakwa menerima dua ancaman bunuh melalui khidmat pesanan ringkas (SMS).

Katanya, beliau tidak pasti mengenai motif ancaman itu tetapi percaya suspek mengenali kenderaan yang digunakannya.

Gobalakrishnan berkata, ancaman pertama diterima lewat malam kelmarin pada jam 12.47 tengah malam ketika sedang tidur di Kulim dan diikuti SMS kedua pada 6.48 pagi semalam.

“SMS pertama yang diterima adalah seperti berikut 'Woi, Gopal hindu paraya...aku nak tembak hang. Kereta hang m.benz (Mercedes Benz) 1111 kami 'follow' je...hg (hang) nk (nak) tmbk (tembak) mati macam Joe Fernedas...hahaha'.

“SMS kedua pula tercatat "Kalo hg (hang) pi kat polis jaga...janji hang mati....keadilan parti XXXXXX.

"Saya harap insiden ini tidak bertambah buruk sehingga memaksa satu lagi pilihan raya kecil diadakan di Padang Serai.

"Jika Menteri Dalam Negeri tidak mahu satu lagi pilihan raya kecil, lebih baik beliau menjaga saya," katanya.

Sementara itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, memberi jaminan terhadap keselamatan Gobalakrishnan berikutan dakwaan beliau menerima ancaman bunuh pada lewat malam kelmarin dan pagi semalam.

Beliau berkata, Gobalakrishnan memaklumkan yang beliau menerima dua ancaman bunuh melalui SMS daripada seorang individu yang tidak dikenali.

"Saya beri jaminan akan melihat dan mengambil tindakan bagi memastikan keselamatannya terjamin. Kita punyai kepakaran dalam siasatan supaya perkara ini tidak berlarutan," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, di sini, semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sentul, Superintendan Zainuddin Ahmad yang dihubungi mengesahkan menerima laporan itu.

"Ya, kami ada menerima laporan polis yang dibuatnya...butiran laporan tidak boleh didedahkan kerana boleh mengganggu siasatan..kami akan siasat kes ini untuk tindakan selanjutnya," katanya.

No comments: