BN sedia kemudahan lebih baik
Oleh Wan Faizal Ismayatim
wfaizal@bharian.com.my
Kerajaan Pusat janji teruskan agenda rapatkan jurang pembangunan
KUALA KRAI: Kemenangan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai pada 14 Julai ini, penting bagi memudahkan usaha Kerajaan Pusat untuk terus merapatkan lagi jurang pembangunan antara kawasan bandar dan luar bandar.
Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Mustapa Mohamed, berkata agenda membela nasib rakyat luar bandar khususnya bagi meningkatkan kemudahan infrastruktur sentiasa menjadi keutamaan kerajaan BN di samping tidak mengabaikan penduduk kawasan bandar.
"Kerajaan Pusat sentiasa membela nasib rakyat kerana ini agenda besar dan kita nak sediakan kemudahan lebih baik kepada masyarakat luar bandar, kalau pun tak setaraf dengan bandar, sekurang-kurangnya jurang antara dua kawasan ini dapat dikurangkan.
"Kalau kita menang (pilihan raya kecil) sudah pasti ada tumpuan istimewa kepada Manek Urai, kita sudah isytihar nak menjadikan Manek Urai anak angkat Kerajaan Pusat kerana kita mahu meneruskan agenda pembangunan yang dijanjikan selepas ini," katanya.
Beliau yang juga Pengarah Pilihan Raya BN Manek Urai berkata demikian selepas beramah mesra dengan petugas jentera pilihan raya BN di Kampung Lepan Kabu, Manek Urai, di sini, petang kelmarin.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 6 Julai ini sebagai tarikh penamaan calon, manakala hari pengundian pula pada 14 Julai. Pilihan raya kecil Manek Urai diadakan berikutan kematian penyandangnya, Ismail Yaakob, dari Pas pada 22 Mei lalu, akibat komplikasi jantung.
Mustapa berkata, BN bukan sebuah parti yang bekerja untuk rakyat secara bermusim, sebaliknya menjadi dasar Kerajaan Pusat bekerja sepanjang masa demi membela nasib rakyat.
SUKAN : AHAD 19 JULAI 2009
15 years ago
No comments:
Post a Comment