Thursday, July 02, 2009

Guan Eng didesak letak jawatan

Guan Eng didesak letak jawatan


A DRAVIAM (tengah), M Muniamah (kiri) dan S Viram menunjukkan pelan kondominium yang akan dibina di lorong Kampung Buah Pala.

GEORGETOWN: Penduduk Kampung Buah Pala, Gelugor di sini, mendesak Ketua Menteri, Lim Guan Eng meletak jawatan kerana didakwa gagal menjalankan tugas dan tidak berkemampuan membela rakyat negeri ini.

Mereka turut membidas Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Karpal Singh yang juga Pengerusi DAP, kerana tidak menghulurkan bantuan perundangan kepada penduduk sepanjang proses perbicaraan.

Penolong Setiausaha Pertubuhan Penduduk Kampung Buah Pala, C Tharmaraj, berkata pihaknya mendesak Guan Eng meletak jawatan kerana berasakan Setiausaha Agung DAP itu tidak mampu menjalankan tanggungjawab.

Beliau mendakwa banyak pembohongan dilakukan Guan Eng berhubung kampung itu dan ia tidak membantu, malah menyusahkan penduduk kerana tiada jalan penyelesaian kepada masalah mereka.

"Beliau seorang penipu besar kerana mengeluarkan kenyataan berbeza dan tidak tahu apa-apa mengenai Pulau Pinang kerana berasal dari Melaka. Kami tidak mahu orang macam ini menjadi Ketua Menteri kami lagi, lebih baik beliau balik Melaka.

"Janji dibuat pada kempen pilihan raya umum yang kononnya mahu mengembalikan hak dengan memberikan tanah ini kepada kami langsung tidak ditunaikan. Saya rasa lebih baik beliau letak jawatan," katanya di sini, semalam.

Pada pilihan raya umum, Mac tahun lalu, Pakatan Rakyat (PR) menggunakan isu Kampung Buah Pala sebagai modal kempen dengan menjanjikan penduduk bahawa hak mereka akan dikembalikan jika PR memerintah negeri ini.

No comments: