Jangan layan jika debat terbuka - Shafie
KUALA LUMPUR 1 Julai - Pergerakan Pemuda UMNO tidak perlu melayan pelawaan Dewan Pemuda Pas untuk mengadakan perbincangan atau muzakarah sekiranya ia dilakukan secara terbuka.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, Pemuda UMNO tidak perlu menerima pelawaan itu jika muzakarah tersebut menjurus kepada perdebatan yang disaksikan oleh ramai penonton.
"Pakatan pembangkang telah ada peluang berdebat mengenai apa jua isu semasa di Dewan Rakyat. Kita pun berdebat setiap hari di Dewan Rakyat, jadi nak debat apa lagi.
"Kalau Pemuda Pas mahu duduk semeja untuk menyatakan sesuatu maka ia tidak menjadi masalah. Namun kalau ia melibatkan perdebatan dan ada penonton untuk mendengarnya, saya fikir tak perlu dan hentikanlah kerana masa itu penting," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mengadakan perjumpaan dengan beberapa ahli Jawatankuasa Pembangunan Asap Koyan (AKDC) yang bertanggungjawab terhadap kebajikan dan pembangunan masyarakat Sungai Asap di bangunan Parlimen di sini hari ini.
Ketua Dewan Pemuda Pas, Nasrudin Hasan Tantawi hari ini menyerahkan surat jemputan wacana ilmiah terbuka bertajuk Benarkah Perjuangan UMNO Tidak Bertentangan Dengan Islam kepada Pemuda UMNO yang diterima oleh Naib Ketuanya, Datuk Razali Ibrahim di lobi Parlimen di sini.
Menurut Nasrudin, secara dasarnya Pemuda Pas mencadangkan supaya muzakarah diadakan dengan kedua-dua pihak mengemukakan empat wakil dengan pemilihan tarikh, tempat dan masa yang sesuai ditentukan oleh Pemuda UMNO.
Beliau yang memberikan tempoh seminggu kepada Pemuda UMNO untuk menjawab jemputan itu juga mencadangkan supaya muzakarah tersebut diadakan secara terbuka yang boleh dihadiri oleh orang ramai tanpa sebarang sekatan.
Menurut Mohd. Shafie, perkara penting yang perlu menjadi tumpuan pemimpin politik sekarang adalah melaksanakan apa yang diperlukan oleh rakyat dan negara.
"Bagaimanapun, sekiranya pertemuan antara Pemuda Pas dan Pemuda UMNO itu boleh memperincikan keadaan negara dalam konteks ekonomi dan perpaduan, itu tidak menjadi masalah kepada kita," katanya.
SUKAN : AHAD 19 JULAI 2009
15 years ago
No comments:
Post a Comment