Thursday, July 02, 2009

Permohonan dapatkan dokumen ditunda Jumaat

Permohonan dapatkan dokumen ditunda Jumaat

KUALA LUMPUR 1 Julai - Permohonan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya dibekalkan dokumen berkaitan kes liwat bekas pembantunya yang sepatutnya didengar oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini ditunda sehingga Jumaat ini.

Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah menetapkan demikian berikutan perintah Mahkamah Rayuan yang membenarkan permohonan peguam bela kepada Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu supaya semua prosiding di Mahkamah Tinggi ditangguhkan.

Perintah itu dikeluarkan oleh Mahkamah Rayuan semalam sementara menunggu mahkamah tersebut membuat keputusan terhadap rayuan Anwar berhubung perintah yang mengarahkan kes berkenaan dibicarakan di Mahkamah Tinggi.

Seorang daripada peguam mewakili Anwar, Sankaran Nair memberitahu, memandangkan Mahkamah Rayuan semalam tidak menetapkan bila keputusan rayuan itu akan diumumkan, maka beliau memohon Mahkamah Tinggi menetapkan tarikh sebutan bagi permohonan itu.

Timbalan Pendakwa Raya, Noorin Badaruddin pula meminta permohonan itu didengar esok kerana Peguam Cara Negara II, Datuk Mohd. Yusof Zainal Abiden yang mengetuai barisan pendakwaan menyatakan bahawa Mahkamah Rayuan membayangkan akan membuat keputusan terhadap rayuan itu pada hari ini.

Hakim Mohamad Zabidin kemudian menetapkan 3 Julai ini untuk mendengar permohonan itu dan mengarahkan Nair supaya memaklumkan kepada peguam Sulaiman Abdullah yang mengetuai barisan pembelaan supaya memberi keutamaan terhadap permohonan berkenaan.

Pada 10 Jun lalu, Ahli Parlimen Permatang Pauh itu memfailkan permohonan supaya pendakwa raya membekalkan semua dokumen dan barangan berkaitan kes liwat tersebut sebelum perbicaraan penuh bermula.

Antara yang dipohon dibekalkan ialah kandungan penuh rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di Desa Damansara Condominium, sampel asid deoksiribonukleik (DNA) dan kenyataan saksi-saksi termasuk pengadu, Mohd. Shaiful Bukhari Azlan.

Mahkamah Rayuan yang selesai mendengar rayuan Anwar pada hari ini akan mengumumkan keputusannya petang esok.

Anwar mengemukakan rayuan setelah tidak berpuas hati terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 5 Mac lalu yang menukar keputusan Mahkamah Sesyen yang mengekalkan perbicaraan kes liwat itu di Mahkamah Sesyen.

Anwar, 62, dituduh meliwat Mohd. Saiful Bukhari, 24, di Unit 11-5-1, Desa Damansara Condominium, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang, 26 Jun tahun lalu.

Kes itu dijadualkan untuk perbicaraan pada 8 Julai ini di hadapan Hakim Mohamad Zabidin

No comments: