Thursday, July 02, 2009

Rayuan Anwar pindah kes liwat diputus hari ini

Rayuan Anwar pindah kes liwat diputus hari ini

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan akan memutuskan hari ini rayuan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap pemindahan perbicaraan kes liwatnya dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi.

Hakim Datuk Abdull Hamid Embong yang bersidang bersama Datuk Abu Samah Nordin dan Datuk Jeffery Tan Kok Wha menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujahan peguam Anwar, Sulaiman Abdullah dan Peguam Cara Negara II, Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden.

Sulaiman berhujah bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi memberikan harapan sah kepada isteri Anwar dan anaknya bahawa Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail tidak akan terbabit dalam kes liwat Anwar.

Sulaiman berkata, pengecualian pembabitan Abdul Gani sebagai pendakwa raya dalam kes itu diberikan kepada umum oleh Perdana Menteri sebagai Ketua Eksekutif.

"Hakim Mahkamah Sesyen membuat keputusan yang betul apabila memutuskan Anwar memperoleh harapan sah dan jaminan daripada Perdana Menteri," katanya.

Pembelaan mencabar kesahihan sijil pindah itu yang dibuat mengikut Seksyen 418A Kanun Acara Jenayah (KAJ) kerana Abdul Gani masih disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung laporan polis Anwar mengenai pemalsuan keterangan insiden 'mata lebam' membabitkannya pada 1998.

Sulaiman berhujah Abdul Gani tidak layak menandatangani sijil pindah itu kerana beliau adalah penyiasat dan pendakwa raya dalam siasatan kes insiden mata lebam.

Mohd Yusof pula berhujah, Abdul Gani hanya perlu menjawab berkaitan bidang tugasnya kepada bahagian pendakwaan dan berkaitan Perlembagaan Persekutuan serta bukannya terhadap Ketua Eksekutif (Perdana Menteri).

"Peguam Negara tidak terikat dengan harapan sah diberikan kepada Anwar," katanya.

Beliau berkata, mandatori untuk Mahkamah Sesyen mengikut Seksyen 418A KAJ memindahkan kes ke Mahkamah Tinggi apabila sijil dikeluarkan Peguam Negara.

Mohd Yusof juga berhujah Abdul Gani hanya menjalankan fungsi pentadbiran dan bukan fungsi kehakiman apabila menandatangani sijil pindah itu.





Keputusan diketahui hari ini

Oleh NORLIZAH ABAS
pengarang@utusan.com.my

PUTRAJAYA 1 Julai - Keputusan sama ada perbicaraan kes liwat Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim didengar di Mahkamah Tinggi atau Mahkamah Sesyen, akan diketahui esok.

Panel tiga hakim diketuai oleh Hakim Datuk Abdull Hamid Embong memutuskan demikian setelah mendengar rayuan Anwar terhadap perintah perpindahan kesnya ke Mahkamah Tinggi.

Beliau yang bersidang bersama Hakim Datuk Wira Abu Samah Nordin dan Hakim Datuk Jeffrey Tan Kok Wha selesai mendengar penghujahan peguam Sulaiman Abdullah yang mewakili Anwar dan Peguam Cara Negara II, Datuk Mohd. Yusof Zainal Abiden yang mewakili pendakwa raya.

Mahkamah mendengar rayuan Anwar, 62, yang tidak berpuas hati terhadap perintah Mahkamah Tinggi yang mengetepikan keputusan mengekalkan perbicaraan itu di Mahkamah Sesyen.

Ketua Pembangkang itu hadir di mahkamah ditemani isterinya, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan ahli keluarga serta sahabat terdekat.

Pada 5 Mac lalu, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah membenarkan rayuan pendakwa raya yang tidak berpuas hati terhadap keputusan Mahkamah Sesyen yang memerintahkan agar perbicaraan kes liwat itu didengar di Mahkamah Sesyen.

Anwar mencabar kesahihan sijil pemindahan yang ditandatangani oleh Tan Sri Abdul Gani Patail dengan menyatakan Peguam Negara itu tidak layak berbuat demikian kerana beliau masih disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan laporan polis Anwar terhadap insiden 'mata lebamnya'.

Anwar didakwa meliwat bekas pembantunya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan, 24, di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara di ibu negara di antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang 26 Jun tahun lalu.

Perbicaraan itu dijadualkan bermula pada 8 Julai ini di hadapan Hakim Mohamad Zabidin.

Sementara itu, Sulaiman ketika berhujah menyatakan, bidang kuasa Peguam Negara di bawah Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan hanya berkait dengan kuasa untuk mendakwa dan bukannya tindakan memindahkan prosiding jenayah.

Menurut beliau, ini kerana kuasa untuk memindahkan kes merupakan bidang kuasa mahkamah.

Sulaiman turut menghujahkan, penglibatan Abdul Gani dengan menandatangani sijil pemindahan tersebut membuka kepada berlakunya berat sebelah yang membahayakan pihak pendakwaan.

Beliau mendakwa, ini berikutan Abdul Gani telah memalsukan bahan bukti kes insiden 'mata lebam' Anwar pada 1998 melalui sekutu-sekutunya sedangkan ketika itu beliau merupakan sebahagian daripada pasukan pendakwaan.

Sehubungan itu, Sulaiman menghujahkan Hakim Mahkamah Sesyen betul ketika memerintahkan kes itu didengar di Mahkamah Sesyen kerana Peguam Negara secara sendirinya dilihat mempunyai kepentingan terhadap kes itu.

Sulaiman turut memohon mahkamah menimbang fakta bahawa bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi selepas didesak pelbagai pihak telah memberi jaminan bahawa Abdul Gani tidak akan terlibat dalam siasatan dan pendakwaan kes liwat tersebut.

Menurut peguam bela, kepastian itu turut diberikan kepada keluarga Anwar melalui pertemuan dengan Wan Azizah dan anaknya Nurul Izzah di Parlimen pada 1 Julai tahun lalu.

Bagaimanapun, Mohd. Yusof berhujah, jaminan yang diberikan oleh bekas Perdana Menteri itu secara jelasnya bermaksud Abdul Gani tidak akan terlibat dalam membuat keputusan terhadap pendakwaan kes liwat.

Menurut beliau, perpindahan dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi tidak akan menyebabkan prejudis terhadap Anwar kerana Abdul Gani hanya berperanan dari segi pentadbiran selaku Peguam Negara.

No comments: