'Saya tidak ada kuasa menghalang'
ALOR SETAR 1 Julai - Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak tidak menghalang keputusan DAP negeri keluar dari pakatan pembangkang.
Beliau bagaimanapun menyifatkan tindakan itu sebagai tidak menghormati pimpinan DAP Pusat yang tidak tahu menahu keputusan tersebut.
"Saya tidak ada kuasa nak halang siapa yang nak keluar pakatan pembangkang kalau itu yang mereka mahu,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Azizan memberi reaksi segera berhubung pengumuman Pengerusi DAP Kedah/Perlis, Thomas Su untuk keluar dari pakatan pembangkang kerana tidak berpuas hati dengan pentadbiran kerajaan negeri yang didakwa tidak adil kepada rakyat.
Antara isu yang dibangkitkan pemimpin DAP itu adalah tindakan Majlis Bandaraya Alor Setar merobohkan pusat penyembelihan babi di Kampung Berjaya hari ini setelah tempoh sebulan diberikan kepada pengusaha ternakan tersebut berakhir.
Begitu juga dengan keputusan meningkatkan 50 peratus kuota bumiputera bagi pemilikan yang tidak dipersetujui oleh DAP.
Ditanya dakwaan DAP itu, Azizan menafikan beliau tidak bersikap adil kepada semua golongan masyarakat di negeri ini.
Katanya, beliau perlu menimbang kebaikan semua pihak sebelum membuat apa-apa keputusan.
"Dalam isu merobohkan tempat sembelihan babi di Kampung Berjaya, tempoh sebulan untuk menangguhkan kerja-kerja merobohkan pusat penyembelihan diminta sendiri oleh para pengusaha babi di pusat tersebut.
"Mereka juga telah berjanji untuk mencari tempat baru bagi dijadikan pusat penyembelihan," katanya.
Katanya, beliau sendiri telah berhubung dengan Pegawai Daerah Pendang supaya proses kelulusan tanah di Kampung Cina, Pendang dipercepatkan untuk dijadikan tempat penyembelihan babi baru jika tiada bantahan mana-mana pihak.
SUKAN : AHAD 19 JULAI 2009
15 years ago
No comments:
Post a Comment