Jemputan wacana ilmiah disambut baik
KUALA LUMPUR 1 Julai – Pergerakan Pemuda UMNO menyambut baik pelawaan Dewan Pemuda Pas untuk mengadakan perbincangan atau bermuzakarah dengan mereka.
Ketuanya, Khairy Jamaluddin berkata, inisiatif tersebut dilihat sebagai suatu perkembangan besar ketika usaha untuk mengadakan perbincangan antara Pas dan UMNO di peringkat pusat diganggu rakan-rakan Pas dalam pakatan pembangkang.
“Saya melihat Pemuda Pas berani mengorak langkah mereka sendiri malah pelawaan ini menepati pandangan dan pemikiran Pemuda UMNO yang mahu melihat terjalinnya kerjasama antara Pas dan UMNO,” katanya pada sidang akhbar di lobi Parlimen di sini hari ini.
Ketua Dewan Pemuda Pas, Nasrudin Hasan hari ini menyerahkan surat jemputan wacana ilmiah terbuka bertajuk ‘Benarkah Perjuangan UMNO Tidak Bertentangan Dengan Islam’ kepada Pemuda UMNO yang diterima oleh Naib Ketuanya, Datuk Razali Ibrahim di lobi Parlimen di sini.
Mengenai penubuhan sekretariat bagi membincangkan mekanisme muzakarah, Khairy berkata, mesyuarat pertama dicadangkan selepas berakhirnya Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai, Kelantan pada 14 Julai ini.
“Kami mahu tengok kejujuran dan keikhlasan kedua-dua pihak dalam hal ini. Sekiranya tiada serangan peribadi dilakukan dalam ceramah pilihan raya kecil nanti, maka saya nampak muzakarah ini boleh diteruskan,” kata beliau.
Menurutnya, muzakarah berkenaan tidak seharusnya terhad pada isu-isu Melayu dan agama Islam sahaja sebaliknya harus melibatkan isu nasional seperti kebebasan demokrasi, Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan aktivis mahasiswa.
Sementara itu, Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub berkata, Pas mengalu-alukan sebarang perbincangan dengan UMNO pada bila-bila masa sekiranya ia melibatkan kepentingan negara dan rakyat serta tidak menyentuh kerajaan perpaduan.
Salahuddin memberitahu, beliau telah banyak kali menulis surat kepada Pemuda UMNO untuk mengadakan perbincangan bersama mengenai isu-isu pendidikan dan sosial sewaktu menjadi Ketua Pemuda Pas dahulu.
SUKAN : AHAD 19 JULAI 2009
15 years ago
No comments:
Post a Comment