SHAH ALAM 18 Nov. – Selangor tidak keberatan memberi laluan kepada ramai calon wanita untuk bertanding dalam pilihan raya umum akan datang sekiranya langkah itu boleh memberi kemenangan kepada Barisan Nasional (BN).
Menteri Besar yang juga Pengerusi BN Selangor, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo memberitahu, beliau kini meneliti prestasi calon yang layak bertanding dan ia dinilai melalui keupayaan kerja masing-masing.
‘‘Tidak kira calon wanita atau lelaki, yang penting kita hendak menang, bukan kalah.
‘‘Tidak semestinya seseorang itu baik dengan saya, dia akan jadi calon. Banyak perkara akan kita nilai,” katanya semasa berucap melancarkan Jentera Pilihan Raya Wanita BN Selangor di sini hari ini.
Turut hadir ialah Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Muhammad Muhd. Taib dan Ketua Wanita UMNO Selangor, Datin Paduka Seripah Noli Syed Hussin.
Dalam pada itu, Mohamad Khir menjelaskan, pemimpin yang telah menjadi wakil rakyat selama beberapa penggal juga akan diberi peluang untuk bertanding.
‘‘Jika mereka bagus dan selama ini berkhidmat sepenuhnya pada rakyat, sudah tentu kita akan pilih mereka semula.
‘‘Bagaimanapun, keputusan akhir adalah di tangan Pengerusi BN, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi,” katanya.
Sementara itu, Mohamad Khir berkata, kerajaan negeri akan memberi peruntukan RM1 juta dalam masa terdekat ini kepada Wanita BN negeri untuk mengerakkan jentera pilihan raya.
‘‘Wanita BN banyak menyumbang kepada kemenangan kita pada pilihan raya dengan memberi penerangan dari rumah ke rumah, sebab itu kita amat menghargai sumbangan mereka ini,” jelasnya.
Secara keseluruhan, Mohamad Khir berkata, BN Selangor sudah bersedia untuk menghadapi pilihan raya bukan sahaja dari segi keupayaan tetapi juga logistik.
‘‘Kita kini hanya menunggu pengumuman mengenai tarikh pilihan raya. Semuanya kita sudah sediakan,” katanya.
No comments:
Post a Comment