KUALA TERENGGANU 18 Nov. – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menyifatkan dakwaan pihak tertentu kononnya Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin memperkenan serta menyokong perhimpunan haram di ibu kota pada 10 November lalu sebagai tindakan terdesak untuk meraih sokongan rakyat.
Menurut Perdana Menteri, mereka bertindak mengaitkan Seri Paduka dengan kejadian berkenaan untuk menyokong dan ‘membenarkan’ apa yang mereka lakukan.
Katanya, melalui cara itu mereka berharap kerajaan akan mengadakan pilihan raya umum ke-12 dengan lebih cepat.
Bagaimanapun, jelas beliau, ‘tembelang’ pihak berkenaan terbongkar apabila Tuanku Mizan sendiri menegaskan baginda dan Istana Negara tidak pernah pada bila-bila masa memperkenan atau memberikan apa-apa sokongan secara langsung atau tidak langsung kepada mana-mana pihak yang menganjurkan atau terlibat dalam perhimpunan itu.
‘‘Baginda sudah membuat kenyataan yang jelas dan tegas dalam hal ini iaitu baginda tidak memberi perkenan terhadap apa-apa tindakan yang mengaitkan nama baginda.
‘‘Bila (mereka) kaitkan nama raja, ini merupakan satu tindakan yang memang terdesak,” kata Abdullah kepada pemberita selepas melawat Taman Tamadun Islam di Pulau Wan Man dekat sini hari ini.
Perhimpunan haram di Kuala Lumpur pada 10 November lalu dianjurkan oleh Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) yang disertai oleh kira-kira 4,000 penyokongnya bertujuan mendesak reformasi dalam proses pilihan raya di Malaysia.
Ada pemimpin pembangkang menyebarkan dakwaan kononnya perhimpunan haram tersebut mendapat perkenan daripada Yang di-Pertuan Agong dan Istana Negara.
Pada Jumaat lalu, Tuanku Mizan melalui Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Wan Mohd. Safiain Wan Hasan mengeluarkan kenyataan pada sidang akhbar di Istana Negara menafikan perkara itu.
Dengan kenyataan tegas daripada Tuanku Mizan, Perdana Menteri meminta pihak-pihak berkenaan menghentikan tindakan mereka mengaitkan nama Yang di-Pertuan Agong dalam perbuatan yang bertentangan dengan undang-undang itu.
No comments:
Post a Comment