Monday, November 19, 2007

RM1 juta kepada Wanita BN Selangor

SHAH ALAM: Bahang Pilihan Raya Umum ke-12 semakin terasa apabila Badan Perhubungan Barisan Nasional (BN) Selangor semalam mengumumkan pemberian peruntukan awal sebanyak RM1 juta kepada jentera pilihan raya Wanita BN di negeri itu.

Pengerusinya, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo, berkata peruntukan itu akan dikeluarkan Selasa ini (esok) untuk digunakan jentera pilihan raya Wanita BN membeli pelbagai peralatan sebagai persediaan menghadapi pilihan raya yang dijangka diadakan awal tahun depan.

"Peruntukan ini untuk memberi semangat kepada Wanita BN untuk lebih kuat bekerja dan setiap kerja memerlukan wang untuk membeli pelbagai peralatan sebagai persediaan awal," katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan Jentera Pilihan raya Wanita BN Selangor di sini, semalam.


Hadir sama, Ketua Penerangan BN, Tan Sri Muhammad Muhd Taib; Pengerusi Wanita BN negeri, Datin Paduka Seripah Noli Syed Hussin dan Ketua Wanita parti komponen di Selangor.

Mengenai calon BN pada pilihan raya akan datang, Dr Mohamad Khir berkata, beliau sudah mempunyai senarai calon, tetapi hanya calon yang boleh membawa kemenangan kepada parti saja akan diletakkan untuk bertanding.

"Hanya calon yang boleh memberi kemenangan saja yang akan dipilih dan calon ini tidak semestinya yang rapat atau baik dengan saya atau pemimpin lain," katanya.

No comments: