Mon | Nov 19, 07 | 12:58:18 pm MYT
KUALA LUMPUR, 19 Nov (Hrkh) - Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) di negara ini akan terus mengalami kemerosotan kualiti pencapaian kecemerlangan akademiknya jika sekiranya ia masih 'dijajah' oleh golongan yang tidak menjadikan agenda pembangunan kecemerlangan sebagai matlamat.
"Selagi menara gading kita masih 'dijajah' oleh birokrat yang rendah ilmu dan budinya serta rakus dalam mencatur laman ilmu yang mulia dengan nafsu serakah mereka, kita akan terus melihat IPTA kita menjunam kredibiliti dan kualitinya," tegas Timbalan Ketua Pemuda PAS Pusat, Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi dalam kenyataan yang dihantar kepada Harakahdaily.
Jelasnya, pihak universiti berhak merancang dan menyusun keutamaannya dalam membangun dan menggiatkan segala aktiviti ilmiah tanpa sekatan-sekatan birokrasi yang merencatkan proses pembangunan dan pematangan ilmu.
"Para penuntut dan mahasiswa juga perlu dibebaskan daripada kepungan yang menghalang mereka daripada menyuarakan pandangan dan menentukan sikap dalam sebarang perkara dan isu sama ada membabitkan kepentingan mereka dan masyarakat umumnya," katanya.
Tambahnya, warga universiti sepatutnya berhak memilih Naib Canselor, Timbalan Naib Canselor, para dekan, para pensyarah yang berkaliber tanpa campurtangan orang-orang politik dari kementerian (KPT).
Pemuda PAS mendesak agar kuasa autonomi yang secukupnya diberikan kepada warga universiti dalam mengurus dan menentukan keutamaannya sebagai institusi pengajian tinggi.
Ini kerana mengikut kajian terbaru Times Higher Education Survey (THES) tiada satu pun universiti tempatan yang tersenarai antara 200 universiti terbaik dunia mahupun 50 terbaik di Asia bagi tahun 2007.
Nasrudin berkata Pemuda PAS melihat kegagalan ini berlaku disebabkan IPTA tidak mempunyai ruang dan peringkat autonomi yang sepatutnya dalam mengurus dan mengetahui halatuju pendidikan tinggi daripada para 'mahaguru' yang berada di menara gading.
Ranking yang dikeluarkan ini sebaik pengumuman hasil Kajian Reputasi Akademik yang dijalankan oleh Agensi Kelayakan Malaysia (AQM), mendapati bahawa tiada sebuah pun IPTA di Malaysia yang mencapai status terbilang iaitu bertaraf dunia.
Sebelum ini iaitu pada 2004, Universiti Malaya (UM) berada pada kedudukan ke-89 dan ke-24 ranking Asia. Namun pada 2005, kedudukan UM menjunam ke tangga 169 dan berada di tempat ke-45 pada ranking Asia.
Pada 2006, kedudukannya terus merudum apabila turun ke tangga 192 dan 49 pada ranking Asia. Universiti Sains Malaysia (USM) berada pada tangga ke-111 ranking dunia dan ke-29 ranking Asia.
Sungguhpun begitu, USM tidak tersenarai pada tahun-tahun berikutnya. Perkara sebaliknya terjadi pada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang mana berjaya melonjakkan kedudukan dalam ranking dunia dari tangga 289 pada 2005 ke 185 pada 2006
Pada masa yang sama, sebagai perbandingan, Singapura memiliki dua buah universiti (National University of Singapore & Nanyang Technological University) yang berada pada tahap 70 terbaik dunia bahkan prestasi kedua-dua institusi sentiasa konsisten berdasarkan ranking yang dikeluarkan oleh THES sebelum ini.
Malahan pada 2006, Chulalongkorn University di Thailand menduduki ranking yang lebih baik daripada mana-mana universiti tempatan dalam ranking THES.
Nasrudin juga berpandangan penarafan yang dikeluarkan oleh THES dan AQM jelas menunjukkan bahawa tahap prestasi IPTA di Malaysia berbanding institusi pengajian tinggi di Asia tidak menunjukkan penambahbaikan yang konsisten bahkan terus merudum saban tahun.
"Lebih membimbangkan, usia penubuhan universiti-universiti utama di negara-negara jiran hampir sebaya dengan IPTA utama di negara kita, tetapi lonjakan prestasi mereka jauh menandingi IPTA tempatan," katanya lagi.
Jelasnya, kedudukan ini juga memberikan gambaran bahawa biarpun semenjak tahun 2004, Kementerian Pengajian Tinggi di bawah Dato' Mustapa Mohamed ditubuhkan sebagai kementerian khusus untuk memacu kecemerlangan universiti-universiti tempatan telah gagal biarpun daripada sudut bilangan IPTA di Malaysia semakin bertambah.
Bahkan IPTA tempatan lebih berminat untuk merebut status penarafan ISO daripada menumpukan agenda melonjak kecemerlangan akademik sehingga diakui oleh universiti ulung di dunia.
Saban tahun apabila THES mengeluarkan ranking kedudukan 200 universiti di dunia, pelbagai inisiatif diumumkan bagi meningkatkan prestasi IPTA.
Namun natijahnya, kedudukan IPTA terus menjunam apatah lagi kini terkeluar daripada kedudukan universiti terbaik dunia. - mks.
No comments:
Post a Comment