KUALA TERENGGANU 18 Nov. – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mahu semangat Gelombang Biru, yang berjaya menumbangkan parti Pas di Terengganu pada pilihan raya umum lepas, terus disuburkan dalam membangunkan negeri itu.
Perdana Menteri berkata slogan itu perlu diperluaskan dalam pelbagai bidang seiring dengan pembangunan yang dirancangkan di negeri itu dan ianya tidak seharusnya memfokuskan kepada pilihan raya semata-mata.
“Semangat Gelombang Biru bukan digunakan untuk pilihan raya sahaja.
Biarlah Gelombang Biru bergerak pantas dan disuburkan sepanjang masa dalam arus pembangunan yang dilaksanakan di Terengganu,” katanya ketika berucap di hadapan kira-kira 10,000 hadirin sempena program jamuan rakyat di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Budiman di sini, malam ini.
Abdullah berkata kerajaan melalui Misi Nasional, telah menetapkan pelbagai agenda pembangunan di negeri-negeri yang ketinggalan dalam arus pembangunan negara, termasuk di Terengganu.
Justeru, katanya rakyat negeri itu perlu bersedia dan yakin terhadap usaha-usaha yang dilakukan kerajaan bagi memastikan Terengganu muncul antara negeri termaju di negara ini pada masa depan.
“Untuk memastikan kita memperolehi kejayaan, kita mesti ada pengetahuan dan kekuatan serta minda kelas pertama. Malah, dengan kekuatan rohani akan membawa perubahan besar yang tidak pernah dilihat oleh rakyat Terengganu sebelum ini,” katanya.
Bagi memastikan kejayaan itu, Abdullah berkata rakyat perlu membuang sikap bahawa sesuatu tugas atau tanggungjawab yang diamanahkan itu susah untuk dilaksanakan.
“Jangan fikirkan semuanya susah, tidak berani nak buat..takut kalah.
Kalau kita fikirkan semuanya susah, kita akan jadi orang susah. Kalau kita fikir kita tidak mampu atau tiada kemampuan, kita akan jadi orang yang mundur dan ketinggalan,” katanya.
– Bernama
No comments:
Post a Comment