KUALA LUMPUR 18 Nov. – Dianggar kira-kira tiga juta rakyat Malaysia yang layak mengundi akan terlepas peluang menjadi pemilih pada pilihan raya umum ke-12 jika pilihan raya itu diadakan awal tahun depan.
Utusan Malaysia difahamkan jumlah penduduk berumur 21 tahun ke atas yang mendaftarkan diri sebagai pemilih baru dikatakan masih kurang memberangsangkan.
Walaupun Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membuka pendaftaran sepanjang tahun, tetapi bagi melayakkan pengundi baru menyertai pilihan raya umum itu jika ia diadakan awal tahun depan, mereka perlu mendaftar selewat-lewatnya pada hujung September lalu.
Pada September lalu, Pengerusi SPR, Tan Sri Ab. Rashid Ab. Rahman pernah menasihatkan orang ramai supaya mendaftar sebagai pengundi selewat-lewatnya pada hujung bulan berkenaan jika mereka mahu mengundi pada pilihan raya umum ke-12.
Menurut Ab. Rashid, semua pihak harus sedar proses memasukkan nama sebagai pengundi dalam senarai pemilih perlu mengikut undang-undang dan tempoh masa yang ditetapkan ialah selepas tiga bulan pendaftaran.
Ujarnya, mereka yang membuat pendaftaran pada bulan September, namanya akan dimasukkan dalam senarai pemilih bulan Disember iaitu setelah melalui beberapa proses undang-undang.
Dalam pada itu, SPR sebelum ini pernah membuat kenyataan bahawa jumlah rakyat Malaysia yang belum berdaftar sebagai pemilih yang direkodkan pada April lalu adalah 4.9 juta orang.
Jumlah itu berjaya dikurangkan kepada 3.9 juta iaitu selepas berakhir program Gerakan Perdana Pendaftaran Pemilih pada hujung Ogos lalu.
Menerusi program itu SPR berjaya menarik sejuta pengundi baru berbanding sasaran asal 2.5 juta orang.
Mengenai status terkini daftar pemilih, menurut laman web rasmi SPR, Daftar Pemilih Tambahan (DPT) suku tahun kedua 2007 telah disahkan serta diwartakan pada 10 Oktober lalu.
‘‘Dengan pengesahan DPT Suku Tahun Kedua 2007, jumlah pemilih berdaftar bagi seluruh negara setelah dicantum dengan Daftar Pemilih Induk 2006 ialah 10,516,256 orang,’’ menurut laman web tersebut.
No comments:
Post a Comment