Mon | Nov 19, 07 | 9:38:44 am MYT
PETALING JAYA, 19 Nov - Adik peguam Dato' VK Lingam telah membuat dua laporan polis yang mendakwa berlakunya perbuatan rasuah dalam badan kehakiman serta mendedahkan maklumat mengenai hubungan baik peguam kanan itu dengan hakim-hakim berjawatan tinggi, setengah daripada mereka telahpun bersara.
Mengikut laporan malaysiakini, Thirunama Karasu Kandar Veluppillai, 49, juga mendakwa pihak polis enggan mengambil sebarang tindakan terhadap laporan pertamanya, menyebabkan dia membuat laporan kedua, tiga hari kemudiannya di balai polis yang lain.
Thirunama membuat laporan pertamanya di balai polis Kelana Jaya, Selangor pada 16 Mac tahun ini terhadap Lingam dan beberapa orang lagi yang didakwa terbabit melakukan rasuah. Laporan kedua pula dibuat di balai polis Brickfields pada 19 Mac kerana, menurut Thirunama, pegawai penyiasat di balai polis Kelana Jaya, enggan merakamkan kenyataannya secara terperinci.
Dalam laporan keduanya, Thirunama – seorang juruelektrik – mendakwa beliau telah "diperalatkan" oleh Lingam untuk merasuah bekas Ketua Hakim Negara, Tun Eusoff Chin, bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohtar Abdullah, seorang bekas ketua polis dan beberapa hakim kanan.
Mereka termasuklah hakim-hakim Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Perindustrian yang sudah bersara dan yang masih berkhidmat.
Thirunama juga mendakwa, beliau sendiri telah menyaksikan abangnya - yang disebutnya sebagai Dato V Kanagalingam - menyerahkan cek bernilai RM50,000 kepada ketua Mahkamah Perindustrian ketika itu.
Salinan laporan tersebut telah diedarkan kepada pihak media pagi semalam oleh peguam Wee Choo Keong dalam satu sidang akhbar di pejabat Parti Demokratik Malaysia (MDP) di Petaling Jaya. Wee adalah setiausaha agung parti tersebut.
Dua bulan lalu, KeADILan mendedahkan klip video yang menunjukkan perbualan telefon Lingam, didakwa dengan Hakim Besar Malaya ketika itu, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim, membincangkan mengenai pelantikan hakim-hakim.
Ahmad Fairuz telah menafikan yang Lingam bercakap dengannya dalam klip video tersebut.
Khabar angin sudah lama bertiup mengenai hubungan yang tidak baik antara Thirunama dan Lingam tetapi tidak diketahui sejak bila.
Wee bagaimanapun, menegaskan bahawa pemberi maklumat yang memberikan 'klip video Lingam' kepada bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim – yang mendedahkan klip video tersebut pada 19 September lalu – tiada kaitan dengan laporan polis Thirunama, yang dibuat enam bulan sebelum klip video itu didedahkan.
Menurut Wee lagi, Thirunama sendiri yang menghubungi beliau kira-kira 10 hari yang lalu untuk memaklumkan kepadanya mengenai laporan polis tersebut dan meminta bantuannya mengenai perkara itu. Wee enggan menyatakan di mana Thirunama berada, kerana bimbangkan keselamatannya.
Dalam laporannya itu, Thirunama mendakwa pada dua masa yang berasingan, dia telah diarahkan supaya membeli telefon bimbit dengan wang yang diberikan oleh Lingam dan memberikan telefon tersebut kepada beberapa hakim berjawatan tinggi, termasuk Eusoff.
Thirunama juga mendakwa, pada 1996, Lingam juga telah memberikannya wang tunai kepadanya supaya melangsaikan bil telefon ketua polis negara ketika itu.
Pada tahun yang sama, Thirunama berkata, beliau juga telah memulangkan "beg bimbit lama dan berat" yang disimpan oleh Lingam, kepada pemiliknya, yang kini merupakan seorang hakim Mahkamah Rayuan.
Sebahagian besar laporan tersebut menyentuh tentang contoh-contoh dakwaan yang menunjukkan hubungan rapat Lingam dengan Eusoff.
Antaranya, Thirunama berkata, Lingam telah mengadakan jamuan makan malam pada 1995 di rumah peguam tersebut di Kelana Jaya. Eusoff dan anggota keluarganya hadir di majlis makan malam tersebut bersama dengan presiden Mahkamah Rayuan ketika itu dan isterinya, kata Thirunama.
Thirunama juga berkata, beliau juga menjadi pemandu abangnya dan beberapa kali membawa Lingam ke rumah Eusoff untuk perjumpaan-perjumpaan pada waktu tengah malam.
"Setiapkali saya menghantar abang saya, Dato V Kanagalingam, ke rumah Eusoff Chin, Dato VK, akan membawa banyak fail dan apabila saya pergi mengambilnya, beliau akan membawa balik satu fail.
"Saya biasanya menghantar abang saya, Dato V Kanagalinam, pada kira-kira jam 11:30 malam dan mengambilnya balik pada kira-kira jam 12:30 tengah malam hingga 1 pagi," kata Thirunama.
Pada tahun 1996, Thirunama berkata, beliau telah menghantar beg bimbit kulit yang baru kepada Eusoff yang mengandungi beberapa dokumen serta buah tangan - sebuah dompet dan beg tangan kulit wanita.
Malaysiakini sebelum ini telah melaporkan bahawa Lingam dan Eusoff serta anggota keluarga masing-masing telah bercuti bersama di New Zealand 13 tahun yang lalu. Foto mereka berdua di New Zealand telah disiarkan dalam Internet sejak banyak tahun yang lalu.
Menceritakan satu insiden pada tahun 1996, Thirunama mendakwa, sebaik sahaja dimaklumkan mengenai siasatan terhadap pembabitan Lingam dalam skandal Perwaja Steel, Lingam telah meminta Thirunama dan beberapa orang lain untuk mendepositkan beberapa keping cek dan wang tunai ke dalam pelbagai akaun di Malaysia serta di London.
Thirunama berkata, RM275,000 didepositkan ke dalam akaunnya sendiri, manakala RM300,000 dimasukkan ke dalam lima akaun berasingan, masing-masing sebanyak RM60,000.
Selain itu, dakwanya, wang tunai RM100,000 disimpan oleh seorang saudara perempuan di rumahnya di Petaling Jaya.
Lingam merupakan peguam bagi Perwaja, syarikat besi waja milik negara yang dituduh terbabit dalam penyelewangan kewangan.
Thirunama juga berkata, pada 1998, dia telah membuat tiga kenyataan berasingan kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) berhubung dakwaan rasuah terhadap Lingam.
Dia menegaskan dua kenyataan tersebut adalah benar, tetapi Thirunama berkata, yang lagi satu itu tidak benar. Tetapi dia tidak memberi butiran lanjut mengapa dia berbohong kepada BPR.
Bagaimanapuan, sekurang-kurang sekali pada 1997, Thirunama berkata, dia dipaksa menandatangani satu pengisytiharan bersumpah yang telah disediakan oleh Lingam dan seorang lagi saudara lelakinya.
Thirunama juga berkata, Lingam telah mengugut balasan terhadapnya dan keluarganya jika Thirunama memberitahu BPR mengenai urusannya dengan para hakim, pasukan polis dan lain-lainnya.
"Saya bimbangkan nyawa saya dan keselamatan keluarga saya," katanya dalam laporannya itu.
Ditanya mengapa Thirunama memilih untuk menghubunginya, Wee berkata, beliau sendiripun tidak menyangkanya.
Katanya, mungkin Thirunama tidak percayakan pihak-pihak lain.
"(Jika mahu) dia boleh berjumpa dengan pemimpin-pemimpin pembangkang yang lain, sesetengah (mereka) mempunyai kedudukan dan boleh membangkitkan perkara ini di Parlimen," kata Wee. - www.malaysiakini.com
No comments:
Post a Comment